KEBAKARAN hutan di Jalan Bukit Bendera, Pulau Pinang. FOTO Ihsan bomba
KEBAKARAN hutan di Jalan Bukit Bendera, Pulau Pinang. FOTO Ihsan bomba
Zuhainy Zulkiffli


KEBAKARAN tujuh hektar hutan antara Kok Lok Si dan Bukit Bendera di Georgetown, malam tadi berjaya dikawal bomba selepas hampir lapan jam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, hanya beberapa anggota bomba masih ditempatkan di lokasi kejadian bagi memastikan api dipadamkan sepenuhnya.

Menurut Phee, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku akibat aktiviti penebangan pokok di kawasan berhampiran.

“Siasatan forensik dijalankan agensi dan jabatan kerajaan berwajib diarahkan bagi mengenal pasti punca sebenar dan mengesan pihak bertanggungjawab jika didapati wujud unsur jenayah,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Muzzamer Mohd Salleh berkata, faktor tiada laluan ke lokasi kebakaran dan kedudukan yang curam menyebabkan kelewatan kerja memadamkan api.

Katanya, api juga marak terlalu cepat berikutan angin kencang sehingga 15 kilometer sejam.

“Namun ia berjaya dikawal sebelum merebak ke kawasan pelancongan berhampiran iaitu puncak Bukit Bendera dan Kek Lok Si,” katanya ketika dihubungi.

Berita berkaitan:

  • Bukit Bendera terbakar
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Februari 2020 @ 1:01 PM