PERANGKAP di pasang di kawasan ladang Felda Perasu, Isnin lalu belum berjaya menangkap beruang. FOTO Ramli Ibrahim.
PERANGKAP di pasang di kawasan ladang Felda Perasu, Isnin lalu belum berjaya menangkap beruang. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


JEMAAH masjid Felda Perasu, dekat Gua Musang, bertempiaran lari sembunyi dalam masjid apabila terserempak dengan seekor beruang berada atas jalan lewat, petang semalam.

Kemunculan beruang berhampiran masjid berkenaan jam 7.30 petang itu selama 10 minit sebelum ia beredar memasuki ladang sawit.

Seorang peneroka, Muhammad Kamil Jamil, 58, berkata, ketika kejadian orang ramai dalam perjalanan ke masjid untuk solat Maghrib.

“Mereka yang berada berhampiran masjid segera melarikan diri bersembunyi di dalamnya manakala yang masih jauh menunggu beruang itu beredar.

“Kini masyarakat peneroka semakin bimbang dengan keselamatan apabila haiwan itu kerap berkeliaran di kawasan kampung,” katanya.

Lima ekor beruang dipercayai kerap berkeliaran kawasan Felda Perasu sejak tiga minggu lalu hingga memusnahkan tanaman dan ternakan penduduk.

Isnin lalu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan memasang sebuah perangkap di kawasan ladang sawit.

Seorang lagi peneroka, Fauzi Abdullah, 56, pula berkata, selagi haiwan itu belum berjaya ditangkap, maka selama itulah keadaan keluarga peneroka tidak tenteram.

Katanya, kemunculan beruang itu yang kerap berhampiran kediaman penduduk dan masjid menghalang pergerakan serta berdepan bahaya.

“Sejak kami terserempak dengan haiwan itu dekat Masjid Perasu, lewat petang semalam terasa masih takut untuk keluar malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 11:00 AM