MAYAT Muhammad Izzat Farhan Ismail,16, yang hilang selepas perahu lumba yang dinaikinya karam di Sungai Saribas petang kelmarin, ditemui pagi tadi. Gambar ihsan JBPM
MAYAT Muhammad Izzat Farhan Ismail,16, yang hilang selepas perahu lumba yang dinaikinya karam di Sungai Saribas petang kelmarin, ditemui pagi tadi. Gambar ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi


REMAJA lelaki yang hilang selepas perahu lumba dinaikinya bersama 17 rakan karam di Sungai Saribas petang kelmarin, ditemui lemas hari ini.

Jasad Muhammad Izzat Farhan Ismail, 16, dari Kampung Hulu, Beladin ditemui terapung di Sungai Saribas oleh penduduk kampung, jam 11.40 pagi, kira-kira 7.6 kilometer dari lokasi dia hilang.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diaktifkan selepas pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 7.17 malam, kelmarin.

Operasi SAR membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain dibantu lebih 40 penduduk kampung.

“Berikutan penemuan mayat mangsa, operasi SAR ditamatkan jam 11.45 pagi,” katanya dihubungi.

Pada kejadian jam 6 petang kelmarin, mangsa bersama 17 lagi rakannya sedang berlatih mengayuh perahu lumba di Sungai Saribas.

Kejadian berlaku apabila perahu lumba berkenaan gagal dikawal lalu karam.

Ling Hii berkata, menurut saksi kejadian yang berada di bot tunda, empat mangsa dibawa arus deras ke celah tongkang dan bot tunda yang berlabuh di tebing.

Empat belas yang lain pula dapat berenang ke tebing.

“Saksi itu kemudiannya mencampakkan tali kapal ke arah empat mangsa yang terkapai-kapai dibawa arus.

“Bagaimanapun, hanya tiga mangsa yang berjaya berpaut pada tali manakala seorang lagi gagal berbuat demikian sebelum tenggelam dibawa arus deras,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 5:11 PM