LAPORAN portal berita Harian Metro, malam tadi.
LAPORAN portal berita Harian Metro, malam tadi.
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA kanak-kanak perempuan yang jatuh dari tingkat empat bangunan kuarters guru di sekolah berasrama penuh di Jalan Sungai Pusu, Gombak, semalam, dipercayai menggunakan kerusi untuk memanjat balkoni.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kanak perempuan berkenaan ditinggalkan bapanya berusia 30-an yang juga peniaga di rumah berkenaan dalam keadaan berkunci.

“Difahamkan bapa mangsa keluar mengambil anak bongsunya iaitu bayi berusia tujuh bulan di rumah pengasuh terletak di luar kawasan kuarters terbabit.

“Hasil siasatan awal, kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dipercayai memanjat balkoni setinggi hampir satu meter menggunakan kerusi diletakkan berhampiran sebelum dia dan diikuti kakaknya berusia enam tahun terjatuh dari tingkat empat bangunan berkenaan.

“Kejadian itu menyebabkan kanak-kanak berusia tiga tahun terjatuh ke dalam longkang, manakala kakaknya terjatuh di atas rumput,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.

Arifai berkata, pihaknya akan mengambil keterangan ibu bapa kanak-kanak itu, mangsa yang cedera serta jiran mereka untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, ketika ini, belum ada sebarang keterangan diambil daripada pihak berkenaan bagi membolehkan ibu bapa kanak-kanak itu menguruskan urusan pengebumian anaknya terlebih dulu.

“Namun, keterangan mereka akan diambil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Mangsa parah dalam kejadian itu dilaporkan stabil walaupun patah kedua-dua tangan serta kaki dan sedang menerima rawatan di Hospital Selayang.

“Saya menasihatkan ibu bapa supaya memastikan keselamatan anak yang ditinggalkan dalam keadaan ada penjaga kerana berbahaya meninggalkan kanak-kanak di rumah berkunci,” katanya yang masih menunggu hasil bedah siasat terhadap mangsa.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut, manakala kakaknya berusia enam tahun patah tangan dan kaki selepas mereka terjatuh dari tingkat empat kuarters guru berkenaan, semalam.

Kejadian itu disedari ibu mangsa yang juga seorang guru berusia 34 tahun selepas pulang ke rumahnya pada 5.30 petang.

Berita berkaitan

'Adik maut, kakak cedera jatuh tingkat 4'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 12:57 PM