ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian. FOTO ihsan polis
ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


KANAK-kanak perempuan berusia tiga tahun maut manakala kakaknya berusia enam tahun patah tangan dan kaki selepas terjatuh dari tingkat empat kuarters guru di sebuah sekolah berasrama, Jalan Sungai Pusu, Gombak, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian itu disedari ibu mangsa yang pulang ke rumah jam 5.30 petang.

Menurutnya, wanita terbabit dibantu jirannya kemudian membawa anaknya ke Hospital Selayang.

“Pada jam 6.02 petang semasa wanita terbabit berada di zon merah, doktor mengesahkan anaknya berusia tiga tahun meninggal dunia manakala kakaknya patah tangan dan kaki.

“Siasatan awal mendapati wanita terbabit meninggalkan anaknya bersama suami ketika dia pergi bekerja,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Arifai berkata, sebaik pulang dia mendapati mangsa terbaring di kawasan lapang tingkat bawah.

“Suaminya memberitahu keluar sebentar meninggalkan anak mereka di dalam rumah.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 11:18 PM