Enam wanita disyaki pelacur ditahan dan (gambar kanan) seorang dikesan bersama bersama pelanggannya dalam sebuah bilik ketika pemeriksaan di di Jalan Coastal, Kota Kinabalu pada tengah malam tadi. Foto Juwan Riduan
Enam wanita disyaki pelacur ditahan dan (gambar kanan) seorang dikesan bersama bersama pelanggannya dalam sebuah bilik ketika pemeriksaan di di Jalan Coastal, Kota Kinabalu pada tengah malam tadi. Foto Juwan Riduan
Juwan Riduan

KEGIATAN pelacuran berselindung di sebalik pusat refleksologi terbongkar dalam serbuan Ops Noda di sebuah premis di Jalan Coastal, Kota Kinabalu pada tengah malam tadi.

Serbuan pada 12.10 tengah malam itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Enam wanita warga China yang disyaki pelacur dan seorang lelaki dipercayai pelanggan premis itu ditahan dalam serbuan terbabit.

Pegawai Turus D7 IPK Sabah Deputi Superintendan Alhusin Halil berkata, ketika serbuan di sebuah bilik di premis berkenaan menemui seorang lelaki dipercayai pelanggan bersama seorang wanita warga asing.

“Hasil pemeriksaan kemudiannya menemui barang-barang yang disyaki digunakan untuk kegiatan pelacuran iaitu kondom, tuala dan tisu.

“Susulan itu, anggota D7 turut menahan lima lagi wanita warga asing disyaki pelacur,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alhusin berkata, pihaknya turut merampas wang sebanyak RM300 yang dipercayai dibayar pelanggan kepada wanita terbabit dipercayai sebagai upah untuk khidmat seks.

“Semua wanita yang ditahan itu berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun manakala pelanggan lelaki pula berusia 27 tahun.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Karamunsing untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, Alhusin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti maksiat dan pelacuran atau sebarang aktiviti menyalahi undang-undang supaya disalurkan kepada pihak polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam kegiatan persundalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 2:36 PM