Antara remaja yang ditahan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Antara remaja yang ditahan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


KESERONOKAN lapan remaja berusia 16 hingga 17 tahun mandi di Air Terjun Mahkota yang terletak dalam kawasan Taman Negeri Endau-Rompin (TNER), di Rompin, yang belum dibuka kepada umum membawa padah apabila mereka ditahan, semalam.

Kumpulan remaja terbabit ditahan jam 1.15 tengah hari dan Harian Metro dimaklumkan, tindakan menceroboh itu bukan pertama kali dilakukan mereka.

Pegawai Hutan Daerah Rompin Shairani Mamat berkata, kumpulan remaja terbabit ditahan kerana tidak memiliki permit untuk berada dalam hutan simpan yang belum dibuka kepada pengunjung.

Menurutnya, larangan memasuki hutan simpan berkenaan terpaksa dilakukan pihaknya demi keselamatan pengunjung kerana binatang liar seperti harimau dan gajah didapati berkeliaran di kawasan itu.

“Bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku penguatkuasaan larangan memasuki TNER dilakukan. Pengunjung boleh datang apabila ia dibuka sepenuhnya tidak lama lagi.

“Tujuan kita menahan remaja terbabit bukan untuk menganiaya mereka sebaliknya dilakukan demi keselamatan dan tertakluk kepada undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 yang melarang mana-mana individu berada dalam hutan simpan tanpa permit.

“Kita tahan mereka sementara sahaja untuk proses dokumentasi sebelum semuanya dibenarkan pulang selepas waris datang ke pejabat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam perkembangan sama, Shairani berkata, pengunjung boleh berkunjung ke TNER yang baru sahaja dinaik taraf dengan perbelanjaan RM15 juta apabila dibuka sepenuhnya tidak lama lagi.

“Pelbagai kemudahan terdapat di situ yang mampu menggamit kehadiran pelancong tempatan dan luar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 11:46 AM