TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama pengurusan tertinggi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) yang diketuai Pengerusi MPB, Datuk Dr Syed Hussian Aljunid (kanan) bermesra dengan pekerja OKU pekak di Kafeteria Selera Jemari di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Putrajaya. FOTO Luqman Hakin Zubir
TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama pengurusan tertinggi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) yang diketuai Pengerusi MPB, Datuk Dr Syed Hussian Aljunid (kanan) bermesra dengan pekerja OKU pekak di Kafeteria Selera Jemari di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Putrajaya. FOTO Luqman Hakin Zubir
Yusmizal Dolah

KAFETARIA di aras dua Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini, menjadi antara tempat makan unik kerana ia dikendalikan orang kurang upaya (OKU) pekak yang berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.

Ia antara kelainan yang boleh dirasai kerana selain rasa masakannya yang sedap, pelanggan juga berpeluang untuk belajar bahasa isyarat untuk membuat pesanan menerusi poster yang diletakkan di situ.

Pengarah Eksekutif Selera Jemari Mohamad Sazali Shaari berkata, kafe berkenaan mula beroperasi sejak lebih setahun lalu dan dia dibantu 12 orang pekerja terdiri daripada OKU pekak, bermasalah pembelajaran dan kecacatan yang pelbagai.

Katanya, berbeza dengan tempat lain, dia menjadikan kafe itu untuk mereka mempelajari kemahiran memasak, persediaan perniagaan sendiri dan bimbingan kerjaya untuk perancangan masa depan.

“Sebelum ini kita ada latihan katering dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara untuk gelandangan selain program lain untuk menunjukkan bahawa kumpulan sasar ini juga berkemahiran tinggi dan mampu berdikari.

“Segala-galanya berkaitan dengan katering juga kita bantu sebab apa yang diinginkan ialah pada akhirnya mereka ini boleh berdikari serta memilik perniagaan sendiri.

“Contoh, mereka ada gerai sendiri berniaga nasi ayam, akan datang mereka boleh berniaga sendiri,” katanya.

Kafetaria berkenaan dikunjungi Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KPWKM Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama pengurusan kanan Media Prima Bhd hari ini.

Menceritakan pengalamannya, Mohamad Sazali berkata, sebelum ini golongan pekak sepertinya mempunyai kafe di Bandar Puchong Jaya, iaitu di ibu pejabat Persekutuan Orang Pekak Malaysia dan memberi peluang kepada mereka berdikari dan belajar kemahiran hidup.

“Pernah kita bagi arahan suruh goreng ikan dan tengok, jadi mereka tengok saja sampai hangit. Jadi sebagai pembimbing, kita perlu banyak sabar dan tengok apa yang boleh dibantu kerana mereka mempunyai kekurangan.

“Bagi yang baru melihat bagaimana kita mengajar, mungkin akan terkejut, tapi bagi saya yang sudah lama, ia menjadi biasa dan kita ajar dengan sepenuh hati,” katanya dibantu penterjemah.

Menurutnya, perancangan pada masa depan, pihaknya akan melatih lebih ramai orang pekak membina keyakinan diri dan mereka mampu melaksanakannya dengan bantuan dan sokongan semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 7:17 PM