BORHAN Madon, 64, (kiri) dan Rohani Mohd Shariff, 60, tidak dapat menahan rasa sebak ketika di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang selepas anaknya Muhammad Zulfakkar Borhan, 29, maut di tempat kejadian dipercayai dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda berdekatan bulatan Jalan Kebun menghala ke Lebuh Raya KESAS, pagi tadi. FOTO Faiz Anuar

Ruwaida Md Zain

SEPANJANG lebih 30 tahun berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kerja menyelamat mangsa kemalangan sama ada maut atau cedera sudah sebati dengan jiwanya.

Namun, kali ini bekas Penolong Penguasa Kanan Bomba, Borhan Madon, 64, tidak menyangka mereka sekeluarga melalui itu apabila anak lelaki, Muhammad Zulfakkar Borhan, 29, maut dilanggar sewaktu pulang dari kerja kira-kira jam 7 pagi tadi.

"Luluh hati saya, sedih dan sayu bila dapat anak kemalangan maut tapi saya pasti, ramai yang membantu mengangkat arwah di lokasi, selama ini saya bantu orang lain tapi kali ini orang bantu anak saya.

"Tapi saya akur dan reda ketentuan Allah SWT kerana lawan kepada hidup adalah mati," katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.

Turut dilihat menziarahi jenazah di Jabatan Forensik HTAR, Timbalan Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail; Pegawai Penyiasatan Kebakaran JBPM Selangor, Azmel Kamarudin; Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Ahmad Subhaan Mohamed; Ketua BBP Andalas, A Romzi Abu dan Ketua BBP Kapar, Yazli Yahaya.

Borhan berkata, kali terakhir bertemu anaknya adalah pada 19 Januari lalu ketika majlis perkahwinan anak bongsunya, Umi Nabilah Borhan, 27, yang cukup akrab dengan arwah.

"Dia memang rapat dengan adiknya. Sebelum adiknya berkahwin mereka memang tinggal serumah di Taman Nakhoda Yusuf, di sini. Banyak benda dikongsi dua beradik itu.

"Adik dia sekarang sedang berbulan madu di Korea dengan suami, mereka bertolak sehari selepas majlis kenduri. Tadi bila dapat tahu abangnya meninggal, dia hanya menangis.

"Muhammad Zulfakkar banyak bantu majlis kahwin adiknya tetapi saya tertanya-tanya kenapa dia banyak berdiam diri di majlis kahwin adiknya, duduk saja di meja cenderahati. Itulah kali terakhir kami semua jumpa dan tengok dia," katanya.

BORHAN Madon, 64, (kanan) ditemani bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor yang hadir ketika di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang selepas anaknya Muhammad Zulfakkar Borhan, 29, maut di tempat kejadian dipercayai dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda berdekatan bulatan Jalan Kebun menghala ke Lebuh Raya KESAS, pagi tadi. FOTO Faiz Anuar

Beliau berkata, sebaik mendapat khabar sedih itu pagi tadi, dia yang kini tinggal di Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah, bergegas ke HTAR bersama keluarga dan akan membawa jenazah anaknya pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melaka Pindah.

"Saya dari sana, ada juga keluarga dan saudara mara di sini datang menziarah, begitu juga pengurusan tertinggi JPBM Selangor, Ketua-Ketua balai bomba datang memberi sokongan kepada kami.

"Saya juga amat berterima kasih kepada bomba Selangor kerana sudi menguruskan penghantaran jenazah anak saya menggunakan van jenazah bomba Selangor walaupun saya hanya bekas bomba," katanya.

Sepanjang berkhidmat dalam JBPM, Borhan pernah berkhidmat di Shah Alam, Klang, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, pembantu pengurus di syarikat arwah bekerja, Muhammad Ridzauddin Basri, 38, berkata mereka kehilangan pekerja yang berbakat dan berkebolehan.

"Arwah seorang pekerja yang bagus dan boleh diharap dan selepas ini akan diberi tanggungjawab mengendalikan mesin sendiri, namun tidak kesampaian apabila dia 'pergi' pagi tadi.

"Arwah pun ada cakap dengan kawan-kawasan di bahagian dia kerja, selepas ini mereka tidak akan jumpa dia lagi (kerana dipindahkan ke bahagian baharu). Memang sedih bila dapat berita ini sebab kami semua rapat, main futsal sama-sama Sabtu lalu. Kawan-kawan suka usik dia sebab dia pendiam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 7:28 PM