Gan (kanan) bersama Suhara (dua dari Kanan) ketika hadir untuk menyampaikan cek pampasan kepada Shi Tian di HSNI Batu Pahat hari ini. Foto Adnan Ibrahim
Gan (kanan) bersama Suhara (dua dari Kanan) ketika hadir untuk menyampaikan cek pampasan kepada Shi Tian di HSNI Batu Pahat hari ini. Foto Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim

DUA beradik kehilangan ibu bapa sekelip mata ketika mahu membeli persiapan sambutan Tahun Baru Cina, 10 Januari lalu.

Lim Shi Tian, 15, berkata, ibu bapanya, Teo Swee Eng, 58, dan Lim Leng Chu, 59, maut di lokasi apabila Nissan Almera dipandu abangnya, Lim Kok Hau, 28, bertembung dengan lori membawa muatan tong gas.

Menurutnya, kemalangan yang berlaku di Kilometer 122, Jalan Johor Bahru-Melaka berhampiran dengan Tanjung Laboh pada 2.50 petang itu menyebabkan dia patah kaki kiri manakala abangnya cedera ringan dan dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.

“Ketika kejadian, kami sekeluarga dalam perjalanan ke bandar Batu Pahat untuk membeli kelengkapan bagi menyambut Tahun Baru Cina.

“Abang terkilan kerana hasrat untuk menjadikan sambutan Tahun Baru Cina kali ini meriah tidak kesampaian,” katanya.

Shi Tian ditemui selepas menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Penyerahan disempurnakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penggaram Gan Peck Cheng serta Pengurus Pejabat PERKESO Cawangan Batu Pahat Suhara Mustaffa di HSNI Batu Pahat hari ini.

Sementara itu, menurut Suhara, hasil siasatan dijalankan Skuad Perkeso Prihatin, waris kepada mangsa kemalangan ini layak untuk menerima dua jenis pampasan.

“Ia membabitkan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM4,000 iaitu bayaran RM2,000 untuk Swee Eng dan bakinya untuk Leng Chu.

“PERKESO juga akan membayar Faedah Pencen Penakat kepada waris (anak) Orang Berinsuran (OB) ini secara bulanan dan akan diberikan bermula pada Februari ini.

“Jumlah bayaran masih dalam pengiraan pihak kami. Bayaran Pencen Penakat ini akan dilaksanakan sehingga anak OB ini mencapai umur 21 tahun dan akan diteruskan sekiranya masih melanjutkan pengajiannya di peringkat ijazah pertama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 4:52 PM