Adnan Ibrahim

SEBANYAK 2,828 kotak rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM17 juta dimusnahkan di Pusat Pelupusan Sampah di Jalan Meta, Mersing, semalam.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Shafie Ismail berkata, pelupusan rokok berkenaan adalah berikutan arahan dikeluarkan mahkamah mengikut Seksyen 407A Kanun Prosedur Jenayah.

Menurutnya, semua kotak rokok itu dimusnahkan selepas semua tertuduh iaitu kumpulan sindiket penyeludupan rokok yang dikenali sebagai Geng Zali sudah dijatuhi hukuman penjara antara tiga hingga lima bulan.

“Sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Siasatan Khas (BPSK) Pasukan Gerakan Khas Bukit Aman bersama Pasukan VAT 69 berjaya membuat tangkapan serta rampasan terhadap Geng Zali di Felda Tenggaroh 2 dan Felda Tenggaroh 4, Mersing pada jam 3 pagi, 10 Oktober 2018.

“Berikutan daripada kejayaan itu, tujuh lelaki warga tempatan dan 16 lelaki warganegara Indonesia berusia 20 hingga 45 tahun berjaya ditahan selain merampas 25 buah kenderaan pelbagai jenis,” katanya ketika ditemui pada sidang media di sini, semalam.

Shafie berkata, sebanyak 2,828 kotak rokok pelbagai jenama dan dianggarkan bernilai RM17 juta mengikut pasaran turut berjaya dirampas.

SHAFIE  (tiga dari kanan) menyaksikan kerja memusnahkan rokok di Pusat Pelupusan Sampah Jalan Meta. FOTO Adnan Ibrahim
SHAFIE (tiga dari kanan) menyaksikan kerja memusnahkan rokok di Pusat Pelupusan Sampah Jalan Meta. FOTO Adnan Ibrahim

Turut hadir adalah Ketua Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner (SAC) Md Yusuf Ahmad dan Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing.

Menurut Shafie, tertuduh dalam kes itu didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Sek 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 2001.

“Pertuduhan berkaitan kes ini dilakukan dihadapan Majistret Mersing pada 24 Oktober 2018 dan semua tertuduh dijatuhi hukuman penjara antara tiga hingga lima bulan.

“Semua rampasan rokok ini diarahkan oleh mahkamah untuk dilupuskan secara musnah dan tanam,” katanya.

Shafie turut menyeru orang ramai serta semua jabatan kerajaan terbabit supaya memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat berkaitan penyeludupan rokok kerana ia hanya boleh ditangani menerusi tahap penguatkuasaan startegik dan berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 7:01 AM