KENDERAAN yang digunakan suspek. FOTO Ihsan PGA
KENDERAAN yang digunakan suspek. FOTO Ihsan PGA
Hazsyah Abdul Rahman


SEORANG lelaki ditahan selepas disyaki cuba merasuah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pusat Pemeriksaan Jalan (PPJ) Sapi Nangoh, Jalan Sandakan-Kota Kinabalu, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, warga tempatan berusia 24 tahun itu cuba memberi RM100 kepada anggota PGA bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang kerana disyaki menyeleweng barangan bersubsidi.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 15 Sandakan, Superintendan Toipi Lamat berkata, sebelum kejadian sepasukan anggotanya menjalankan tugasan menjaga keselamatan di PPJ berkenaan.

Menurutnya, sebuah lori dengan muatan tong gas petroleum cecair (LPG) melalui PPJ dan pemandu dilaporkan memandu sambil merokok.

“Pemandu kemudiannya diminta mengemukakan lesen memandu dan dokumen pembelian serta kebenaran membawa barangan bersubsidi terbabit.

“Namun, suspek gagal mengemukakan sebarang lesen memandu barangan (GDL) dan lelaki itu turut mengakui secara lisan tidak memiliki lesen berkenaan.

“Dalam masa sama, suspek gagal mengemukakan dokumen pembelian dan kebenaran membawa tong LPG berkenaan. Selain itu, cukai jalan kenderaan didapati sudah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, anggota bertugas kemudiannya menahan suspek kerana dipercayai cuba menyeleweng barangan bersubsidi terbabit.

“Namun, lelaki itu tiba-tiba mengeluarkan RM100 dan cuba merasuah anggota bertugas.

“Anggota bertugas kemudiannya bertindak merampas wang berkenaan dan membawa suspek bersama barangan serta lori itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut.

“Siasatan ke atas pemandu itu diteruskan mengikut Seksyen 17(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 2:10 PM