TEKNOLOGI 5G membolehkan pemindahan data secara nyata membantu paramedik mendiagnosis penyakit  lebih cepat menggunakan ECG dan imbasan ultrabunyi. FOTO BERNAMA
TEKNOLOGI 5G membolehkan pemindahan data secara nyata membantu paramedik mendiagnosis penyakit lebih cepat menggunakan ECG dan imbasan ultrabunyi. FOTO BERNAMA
BERNAMA

PENGGUNAAN teknologi generasi kelima (5G) dalam bidang perubatan membolehkan pesakit kritikal diberi rawatan dengan lebih efisien dan sewajarnya, sekali gus meningkatkan peluang menyelamatkan nyawa.

Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Dr Roshidah Rosman berkata, menerusi teknologi itu pemindahan data pesakit dapat dilakukan secara nyata (real-time) ke hospital dari lokasi pesakit itu didiagnosis.

“Paramedik mendiagnosis pesakit lebih cepat menggunakan elektrokardiogram (ECG) dan imbasan ultrabunyi (ultrasound) dari dalam ambulans dan imej imbasan itu dipaparkan menerusi skrin yang boleh dilihat di skrin tablet atau komputer di hospital.

“Menerusi teknologi 5G, proses mendapatkan keputusan diagnosis menggunakan ECG lebih cepat dan jimat masa kepada hanya satu minit berbanding dua ke tiga minit (menerusi teknologi 4G atau 3G),” katanya, semalam.

Dr Roshidah berkata, pasukan paramedik di dalam ambulans juga boleh berkomunikasi secara terus dengan pakar di hospital dan apabila pesakit tiba, rawatan susulan boleh dilakukan kerana proses diagnosis atau first aid dibuat ketika pesakit dalam perjalanan ke hospital.

Hospital Sultanah Maliha adalah satu daripada lokasi yang menjalani projek demonstrasi penggunaan teknologi 5G di Langkawi dengan kerjasama syarikat telekomunikasi Digi sejak Disember lalu.

Katanya, penggunaan teknologi itu juga membolehkan pasukan perubatan di hospital memantau secara langsung keadaan pesakit yang dalam perjalanan ke hospital menerusi paparan visual dan audio berdefinisi tinggi (HD) daripada kamera dipasang di dalam ambulans.

DR Roshidah. FOTO BERNAMA
DR Roshidah. FOTO BERNAMA

Berkongsi pengalamannya, Dr Roshidah berkata, pasukan perubatan hospital berkenaan mendapati teknologi itu sangat praktikal terutama dalam memberi rawatan terhadap pesakit serangan jantung.

“Perjalanan untuk membawa pesakit itu ke hospital mungkin mengambil masa 20 hingga 30 minit namun dengan diagnosis awal dan penjimatan masa seperti ini secara tidak langsung meningkatkan peluang pesakit itu untuk hidup,” jelasnya.

Selain itu, beliau berpandangan teknologi 5G juga membolehkan pasukan perubatan di hospital tertentu berkomunikasi dan mendapatkan konsultasi secara langsung dengan pakar di hospital utama mengenai rawatan dan perkara berkaitan.

Pengkomersialan teknologi 5G dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini dan ia bukan saja mentakrifkan semula ketersambungan di negara ini, tetapi membawa kesan positif kepada ekonomi serta memartabatkan Malaysia sebagai satu daripada perintis 5G di rantau Asean.

Teknologi berkenaan menjalani projek demonstrasi di Langkawi yang dijangka dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 7:45 AM