KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan menyebabkan ibu pesilat negara, maut. FOTO Ihsan Pembaca.
KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan menyebabkan ibu pesilat negara, maut. FOTO Ihsan Pembaca.
Oleh Shahrinnahar Latib


IBU pesilat negara, Mohd Taqiyuddin Hamid maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 90 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Maran, hari ini.

Kejadian jam 11.30 pagi itu menyebabkan Radziyah Din, 70, yang beralamat di Kampung Bak Bak, Maran maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menaiki kereta Proton Perdana dipandu anaknya, Ahmad Shahir Hamid, 40, dalam perjalanan dari arah Temerloh menghala ke Maran.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta berkenaan hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah treler dari arah bertentangan.

“Akibatnya, kereta terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori lain,” dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian, manakala pemandu kereta cedera di muka dan kepala.

“Pemandu dan kelindan lori berkenaan juga cedera di muka dan kepala, manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga proses pengebumian.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh untuk rawatan lanjut dan kesemua berada dalam keadaan stabil.

“Kes disiasat dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 7:27 PM