SEORANG anggota Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar, Mohd Rizal Abdul Rahim yang sedang bertugas mengiring Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris, cedera selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 20 Jalan Ipoh. FOTO IHSAN PEMBACA
SEORANG anggota Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar, Mohd Rizal Abdul Rahim yang sedang bertugas mengiring Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris, cedera selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 20 Jalan Ipoh. FOTO IHSAN PEMBACA
Oleh Balqis Jazimah Zahari


ANGGOTA polis trafik yang sedang bertugas mengiring Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris cedera dalam kemalangan di Kilometer 20 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat lampu isyarat Lawan Kuda, Gopeng, hari ini.

Kejadian berlaku jam 11.08 pagi apabila motosikal berkuasa tinggi ditunggang mangsa Koperal Mohd Rizal Abdul Rahim, 36, dilanggar kenderaan polis Proton Inspira.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika motosikal dan kereta terbabit dalam tugas mengiring Raja Puan Besar Perak dari Ipoh menuju ke Makam Teja.

“Apabila tiba di tempat kejadian, motosikal berhenti di persimpangan lampu isyarat lalu menahan kenderaan yang datang dari arah Kampar bagi memberi laluan kepada konvoi Raja Puan Besar Perak.

“Tiba-tiba datang Proton Inspira membelok dan melanggar bahagian belakang sebelah kanan motosikal mengakibatkan penunggang (mangsa) terjatuh,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Hasron Nazri berkata, mangsa yang menunggang motosikal mengalami luka di kaki kiri dan dihantar ke Hospital Kampar untuk rawatan.

Menurutnya, pemandu serta penumpang Proton Inspira tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 8:20 PM