CHEE Leong (tiga dari kanan) bersama pekerja pembersihan selepas meraikan mereka dengan makan tengah hari bersama di Jonker Street, dekat Banda Hilir. FOTO AMIR MAMAT
CHEE Leong (tiga dari kanan) bersama pekerja pembersihan selepas meraikan mereka dengan makan tengah hari bersama di Jonker Street, dekat Banda Hilir. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


SATU pasukan kesihatan khas akan ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) bermula hari ini bagi memantau virus Influenza A.

EXCO Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong, berkata, pasukan membabitkan kakitangan Jabatan Kesihatan negeri akan membuat saringan terhadap setiap pelancong yang memasuki negeri ini di lapangan terbang berkenaan.

Katanya, setakat ini pasukan kesihatan khas terbabit hanya ditempatkan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka bagi tujuan memantau virus itu.

"Kita melihat ada keperluan untuk meletakkan pasukan kesihatan di LTAM bagi menyaring setiap penumpang, terutama dari China yang memasuki negeri ini.

"Meskipun virus itu di Melaka masih terkawal, namun kerajaan negeri mengambil langkah segera mengekang ia daripada menular," katanya selepas menghadiri makan tengah hari bersama pekerja pembersihan di Jonker Street, di sini tadi.

Hadir sama, Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Tan Chin Gwan dan Penyelia Pembersihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, Mohd Khir Abd Mokhtar.

Semalam, Chee Leong dalam kenyataannya, berkata semua pelancong asing yang memasuki negeri ini melalui ICQS di Kota Laksamana, di sini, wajib melakukan ujian saringan dan pemantauan kesihatan.

Katanya, ujian saringan itu yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan bermula 6 Januari lalu, setakat ini hanya membabitkan pintu masuk antarabangsa di ICQS.

Sementara itu, Chee Leong menafikan Melaka menghadapi kekurangan vaksin influenza, khususnya membabitkan klinik dan hospital swasta.

Katanya, hasil lawatannya ke Hospital Pakar Putra (PSH) Melaka, pagi tadi mendapati vaksin berkenaan masih banyak dan mampu menampung keperluan pesakit.

"Mungkin ada klinik swasta di negeri ini yang tidak menyimpan stok vaksin berkenaan kerana virus ini jarang melanda negeri ini. Bagaimanapun, saya menasihatkan mereka sudah sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan, termasuk berkaitan virus Influenza A," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 4:52 PM