MUHAMMAD Amirul Rahman Allif. FOTO
MUHAMMAD Amirul Rahman Allif. FOTO
Noorazura Abdul Rahman


PEJABAT Kebajikan Masyarakat Daerah Sik sedang mengesan waris kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang ditinggalkan di kawasan estet kelapa sawit di Kampung Gunung Semanggol, dekat Kerian, Perak pada 29 Disember lalu.

Pelindung Kanak Kanak pejabat berkenaan, Syarol Anwar Adnan berkata, sebelum ini, Muhammad Amirul Rahman Allif, 10, dipercayai tinggal bersama warga Bangladesh yang menemuinya dan kanak-kanak itu dipercayai ditinggalkan di Hentian Rawat dan Rehat (RnR) Gunung Semanggol.

Katanya, Amirul yang juga OKU masalah pembelajaran kemudiannya ditemui orang tempatan pada jam 7 malam di dalam estet berkenaan.

“Kami difahamkan ibu bapanya mempunyai rekod dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan diabai oleh orang tuanya.

“Amirul pernah belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sik dan dia dipercayai dijaga oleh suami isteri di Sik sebelum ini. Namun, selepas kematian isteri, lelaki terbabit enggan menjaga Amirul lagi,” katanya ketika dihubungi di Sik, hari ini.

Syarol Anuar berkata, menurut percakapan Muhammad Amirul, kanak-kanak itu mendakwa mempunyai datuk kandung di Semanggol.

Bagaimanapun, usaha mengesan warisnya menemui jalan buntu.

“Bagi orang yang mempunyai maklumat mengenai Amirul boleh menghubungi Pelindung Kanak-Kanak, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Sik menerusi nombor 04-4690230,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 8:55 AM