NUR Muhammad Izzat mencuba 10 jenis burger untuk dimakan untuk saluran YouTube, IsaacOsmanTV. FOTO BERNAMA
NUR Muhammad Izzat mencuba 10 jenis burger untuk dimakan untuk saluran YouTube, IsaacOsmanTV. FOTO BERNAMA
BERNAMA

NAMA Nur Muhammad Izzat Osman mungkin asing kepada umum tetapi jika pernah menonton IsaacOsmanTV di YouTube sudah tentu ramai yang mengenalinya kerana menghasilkan videonya makan dalam kuantiti yang begitu banyak atau disebut sebagai mukbang.

Perkataan mukbang diambil daripada bahasa Korea yang sebelum ini video seperti itu hanya dihasilkan oleh penduduk negara berkenaan sebelum mendapat perhatian rakyat negara lain termasuk Malaysia.

Jika pernah melihat videonya memakan 10 biji burger sekali gus, anda mungkin mengatakan gilanya lelaki ini tetapi itulah cara Nur Muhammad Izzat memberi kelainan dalam menghasilkan video yang disebut netizen sebagai satu-satunya Mukbang Malaysia.

Mempunyai lebih 300,000 pengikut di YouTube, Nur Muhammad Izzat sanggup menghabiskan wang beratus ringgit membeli makanan atau minuman yang bersamaan antara 2,500 hingga 4,500 kalori dan videonya pernah ditonton lebih sejuta pelayar.

“Setiap minggu saya akan menghasilkan sekurang-kurangnya tiga video bagi review makanan dengan cara memakan makanan dalam kuantiti yang banyak atau lebih dikenali sebagai mukbang.

“Video pertama saya dihasilkan pada Ogos tahun lalu dengan makan 10 cup (bekas) mee pedas ramen pelbagai produk dengan memberikan komen apa istimewanya mee pedas yang menjadi kegilaan golongan muda ketika itu dan selepas itu nama saya semakin dikenali sebagai Mukbang Malaysia,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, baru-baru ini.

NUR Muhammad Izzat semakin dikenali sebagai Mukbang Malaysia. FOTO BERNAMA
NUR Muhammad Izzat semakin dikenali sebagai Mukbang Malaysia. FOTO BERNAMA

Berusia 31 tahun dan bekerja sebagai pereka bentuk gerai pameran berkata, sebagai seorang yang gemar berlari, berjoging, mendaki bukit dan mengayuh basikal, budaya makan banyak adalah sebati dengan dirinya kerana selepas bersukan, beliau sentiasa lapar dan makan dengan banyak.

“Sebab itu, makan dalam kuantiti banyak ini tidak menjadi masalah buat saya dan ini kelainan yang saya paparkan dalam setiap video,” katanya.

Dia berkata, walaupun makan dalam kuantiti banyak, kesihatan tetap menjadi keutamaannya dengan memastikan kerap bersukan bagi membakar kalori.

“Contohnya, saya akan bersukan pada waktu malam dan disambung berkayuh basikal ulang-alik ke pejabat sejauh 18 kilometer setiap hari serta melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan Alhamdulillah setakat ini saya masih sihat.

“Ramai tidak tahu sebelum menghasilkan video, satu hari sebelum itu saya tidak akan makan yang berat dan akan bersenam selepas itu,” katanya.

Menafikan mempunyai persamaan dengan personaliti YouTube lain seperti Matt Stonie yang turut menghasilkan video sedemikian, Nur Muhammad Izzat berkata, apa yang dilakukan beliau hanyalah secara suka-suka sahaja dan bukan hanya video makan sahaja dihasilkan tetapi merakamkan juga aktivitinya bersukan.

“Kalau lihat video saya bukan semuanya memakan makanan secara ‘mukbang’ malah ada juga yang makan secara biasa dan pelbagai aktiviti saya bersukan,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini dia menghasilkan lebih 500 video melalui rangkaiannya itu dan pernah ke Korea Selatan, Indonesia dan beberapa negara jiran lain untuk merakamkan video makanan rakyat negara berkenaan.

Katanya, dia banyak menerima jemputan restoran seluruh negara untuk beliau memberi komen namun hanya akan memilih restoran tertentu untuk berbuat demikian.

“Saya seorang yang jujur untuk memberikan komen terhadap makanan yang saya makan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 6:50 AM