Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Foto Luqman Hakim Zubir
Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Foto Luqman Hakim Zubir
Siti Azila Alias

KERAJAAN masih belum membuat keputusan berhubung pemberian kontrak kenderaan mewah sebagai kenderaan rasmi untuk kegunaan menteri dan pegawai tinggi kerajaan.

Menteri Kewangan Lim Guang Eng berkata, perkara itu hanya akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

“Itu (kontrak kenderaan mewah) nantila...kita berpandukan kepada Kabinet.

“Tunggu mesyuarat Kabinet,” katanya ringkas kepada media ketika ditemui selepas meninjau Jambatan Kedua Pulau Pinang susulan penurunan kadar tol kepada RM7 di Bayan Lepas hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan kerajaan memerlukan sebanyak 32 unit TOYOTA Vellfire serta 3,000 Honda Accord yang ditawarkan secara kontrak untuk kegunaan menteri dan pegawai tinggi kerajaan.

Penawaran kontrak kepada beberapa pembida itu dibuat selepas kontrak 25 tahun dengan Spanco tamat.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan keputusan pemberian kontrak kenderaan itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Bagaimanapun, beliau dipetik berkata, Kabinet sudah membincangkan mengenai kaedah terbaik yang dapat memberikan penjimatan kepada kerajaan yang antara lain adalah memberikan elaun kenderaan atau menyediakan kereta rasmi.

Sementara itu, berhubung penyeragaman tol di jambatan kedua itu atau nama rasminya, Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS), Guan Eng berkata, langkah mengurangkan kadar dari RM8.50 kepada RM7 itu mampu membawa manfaat kepada pertumbuhan ekonomi di kawasan Batu Maung dan Batu Kawan, disamping mengimbangi aliran trafik di jambatan pertama.

“Kita mahu sama ratakan kadar antara jambatan pertama dan kedua ini supaya lebih ramai pengguna menggunakan laluan ini.

“Ia sekali gus dapat mengurangkan kos yang sebelum ini perlu dibayar pengguna ketika melalui jambatan kedua serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan ini,” katanya.

Guan Eng berkata, akan ada lagi berita baik yang akan diumumkan oleh kerajaan kepada pengguna jalan raya pada masa akan datang, namun enggan mendedahkannya dan meminta semua rakyat untuk bersabar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 12:55 PM