ABDUL Karim (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen di antara Abdul Wahab (dua kiri) dan Mohd Sharom (tiga kanan). FOTO Melvin Joni
ABDUL Karim (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen di antara Abdul Wahab (dua kiri) dan Mohd Sharom (tiga kanan). FOTO Melvin Joni
Melvin Joni

BANDARAYA Kuching bakal menjadi hab umrah sebaik sahaja penerbangan terus dari Kuching ke Jeddah dan Madinah yang dikendalikan oleh ATS Global Travel and Charter Sdn Bhd bermula April tahun depan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penerbangan empat kali seminggu itu sekali gus akan membuka satu lagi lembaran baharu dan merancakkan industri pelancongan Sarawak.

“Penerbangan ini bukan sahaja mengendalikan jemaah dari Sarawak tetapi juga mereka dari Kalimantan, Indonesia dan juga Brunei Darussalam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Upacara Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Perhubungan antara Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan ATS Global Travel and Charter Sdn Bhd dan Hainan Airlines Holdings Co Ltd di Kuching, hari ini.

Karim menambah apabila semua jemaah dari Indonesia dan Brunei berkumpul di Kuching untuk pergi menunaikan umrah, bandaraya ini juga akan menjadi titik transit mereka dan secara tidak langsung menyumbang kepada sektor perhotelan, pengangkutan, makanan dan sebagainya.

ATS Global Travel menawarkan perkhidmatan penerbangan disewa khususnya ke pasaran Asia Tenggara seperti Malaysia dan Thailand.

Menerusi kerjasama dengan STB, ia akan menyediakan penerbangan umrah menggunakan Kuching sebagai pintu masuk alternatif umrah untuk ke Jeddah dan Madinah menggunakan mana-mana penerbangan atau pengendali penerbangan yang dipilih.

Manakala bagi kerjasama dengan Hainan Airlines, Karim berkata, ia adalah penerbangan terus pertama antara Hainan dan Sarawak.

Selain menghubungkan Kuching, beliau berharap penerbangan itu dapat berkembang dengan menghubungkan bahagian-bahagian lain seperti Miri dan Sibu.

“Ini adalah sektor yang sangat penting kerana China mempunyai pasaran yang sangat besar dari segi populasi dan pembangunannya, yang boleh menyumbang kepada kemasukan pelancong ke Sarawak,” katanya.

Karim menambah penerbangan yang dirancang dua kali seminggu itu juga berpotensi menjana industri eksport makanan dari Sarawak ke Hainan.

Katanya dengan populasi China yang sangat besar, ia secara tidak langsung membuka peluang eksport Sarawak khususnya dari segi bekalan makanan.

“Seperti dengan Singapura, eksport bekalan makanan kita meningkat dengan ketara sekali dan saya tidak terkejut kalau ini boleh berlaku di Hainan dengan adanya penerbangan terus ini,” katanya.

Hadir sama Pengerusi STB, Datuk Abdul Wahab Aziz; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Hii Chang Kee; Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Salleh; Pengarah Eksekutif ATS Global Travel, Mohd Sharom Mabol; Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kuching, Li Wang Yuan; dan wakil Hainan Airlines Yang Lei.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 11:23 AM