BANGKAI gajah Pygmy Borneo yang ditemui di Ladang Malangking. FOTO ihsan polis
BANGKAI gajah Pygmy Borneo yang ditemui di Ladang Malangking. FOTO ihsan polis
Hazsyah Abdul Rahman


SEEKOR lagi gajah Pygmy Borneo ditemui mati di tepi jalan kawasan Ladang Malangking Sukau, Kinabatangan, 25 Disember lalu.

Bangkai gajah jantan berusia lima tahun itu ditemui pada jam 3.40 petang.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, sebelum kejadian ada orang awam melihat seekor gajah berkeliaran dalam keadaan tidak stabil pada hari berkenaan.

“Namun kami hanya menerima laporan pada 26 Disember dan susulan itu, sepasukan anggota bersama staf Jabatan Hidupan Liar (JHL) Kinabatangan dan Jabatan Perkhidmatan Veteriner Sabah menjalankan siasatan di lokasi.

“Hasil pemeriksaan mendapati, gajah itu tidak ada kesan kecederaan atau tembakan di badan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, pemeriksaan organ dalaman mendapati kematian dipercayai akibat kesan jangkitan kuman di paru-paru.

“Bagaimanapun, siasatan akan diteruskan mengikut Seksyen 37 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 iaitu mencederakan haiwan hidupan liar dilindungi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata, punca kematian gajah itu bukan akibat dibunuh dengan sengaja.

“Kematian bukan akibat dibunuh dengan sengaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 11:55 AM