Air Terjun Kota Tinggi ditutup sementara bagi membaiki kesan kerosakan akibat banjir. FOTO Ihsan MDKT
Air Terjun Kota Tinggi ditutup sementara bagi membaiki kesan kerosakan akibat banjir. FOTO Ihsan MDKT
Mohd Sabran Md Sani


AIR Terjun Kota Tinggi, di sini, ditutup sementara sehingga kerja-kerja membaiki kemudahan yang rosak akibat banjir diselesaikan.

Informasi terbaru itu dikongsi menerusi Facebook Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) mengenai kerja baik pulih sedang dilakukan di sekitar kawasan terjejas.

“Dimaklumkan bahawa bermula 15 Disember 2019 pengoperasian Air Terjun Kota Tinggi ditutup buat sementara waktu.

“Hal ini adalah bagi membolehkan kerja-kerja baikpulih dijalankan di sekitar kawasan Air Terjun Kota Tinggi selepas tragedi banjir yang melanda,” kongsi kenyataan FB MDKT.

MDKT dalam kenyataannya turut menyatakan tarikh pengoperasian semula pusat rekreasi itu akan dimaklumkan kelak.

“Sebarang kesulitan yang dihadapi oleh pihak tuan-tuan, puan-puan dan pengunjung amatlah dikesali,” katanya kenyataan itu.

Terdahulu, MDKT berkongsi lapan keping gambar membabitkan kesan kerosakan kemudahan infrastuktur terdapat di sekitar kawasan itu.

Kelihatan keadaan jalan yang rosak hingga memaksa pembaikan terpaksa dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

Terdapat kakitangan MDKT sedang membersihkan kawasan terjejas termasuk membuang kayu yang dihanyutkan arus deras banjir, selain memperbaiki kemudahan yang rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Disember 2019 @ 12:31 PM