AHMAD Fitri meninjau harga tomato sempena pelancancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas di Kuantan. FOTO ASROL AWANG
AHMAD Fitri meninjau harga tomato sempena pelancancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas di Kuantan. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


SEBANYAK 49 kesalahan dikesan dilakukan peniaga di Pahang melalui empat operasi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM5,300 kompaun dikenakan terhadap peniaga yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk gagal meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu.

Timbalan Ketua Pegawai Penguasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pahang (KDPNHEP) Pahang, Ahmad Fitri Ali berkata, antara kesalahan lain yang dikesan ialah gagal meletakkan tanda harga.

Katanya, antara alasan yang diberikan peniaga ialah terlupa tetapi pihaknya tidak berkompromi, sebaliknya mengeluarkan kompaun.

“Bagi pelaksanaan SHMMP sempena Krismas, kita berpuas hati kerana peniaga mematuhi harga yang ditetapkan setakat ini.

“Skim ini akan berkuatkuasa selama 10 hari iaitu bermula hari ini sehingga 31 Disember.

“Sebanyak 13 barangan yang dikawal harga seperti ayam hidup, ayam belanda import, telur ayam, tomato, lada benggala hijau, kubis bulat import, cili merah dan ubi kentang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Walkabout pelancaran SHMMP Krismas di Kuantan, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fitri berkata, pelaksanaan skim itu diharap dapat menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah ketika musim perayaan.

Beliau turut mengingatkan supaya peniaga menjual barangan mengikut harga terkawal yang ditetapkan kerajaan dan meletakkan tanda harga.

“Bagaimanapun peniaga digalakkan untuk menjual barang keperluan lebih rendah daripada harga maksimum.

“Setakat ini bekalan bagi barang keperluan masih mencukupi dan rakyat tidak perlu bimbang.

“KPDNHEP akan terus melakukan pemantauan harga sehingga tarikh akhir pelaksanaan skim itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 7:38 PM