Gambar hiasan
Gambar hiasan
Shamsul Munir Safini


WANITA berusia 56 tahun yang juga seorang pesara kerugian RM187, 000 selepas ditipu sindiket ‘Macau Scam’ minggu lalu.

Kejadian itu bagaimanapun berjaya disedari mangsa sebelum satu laporan polis dibuat semalam.

Ketua Polis Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata, berdasarkan keterangan mangsa, dia memberitahu dihubungi seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, mangsa didakwa kononnya terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah sebelum wanita berkenaan menafikannya.

“Suspek kemudian menyambungkan panggilan itu kepada rakan jenayahnya yang menyamar sebagai pegawai daripada Bukit Aman.

“Lelaki berkenaan memberitahu mangsa kononnya jika dia mahu menyelesaikan kes terbabit, dia perlu mengosongkan semua wang di dalam akaun-akaun bank miliknya sebelum dipindahkan ke akaun yang diberi oleh suspek,” katanya.

Menurutnya, mangsa melakukan enam transaksi bank ke dalam akaun-akaun milik suspek.

Katanya, mangsa sedar bahawa dirinya sudah ditipu selepas suspek terus memintanya memindahkan wang sebelum satu laporan dibuat susulan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 12:46 AM