POSTER warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang di sebuah resort di Pantai, Seremban, Negeri Sembilan, sebelum ditemui mati. FOTO Adzlan Sidek
POSTER warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang di sebuah resort di Pantai, Seremban, Negeri Sembilan, sebelum ditemui mati. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS Negeri Sembilan enggan mengulas mengenai dakwaan keluarga Nora Anne Quoirin, 15, bahawa kehilangan dan kematian remaja perempuan warga Ireland itu ada unsur jenayah.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, perkara itu hanya boleh disahkan selepas laporan lengkap bedah siasat ke atas mayat Nora Anne diperolehi.

“Laporan lengkap bedah siasat dijangka siap pada tahun depan namun kita tidak pasti bila. Ia bergantung kepada laporan daripada Jabatan Kimia Malaysia.

“Sama ada kematiannya (Nora Anne) ada unsur jenayah atau sebaliknya, perkara itu boleh ditentukan selepas laporan lengkap diterima,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai dakwaan keluarga Nora Anne yang mengatakan ada unsur jenayah dalam kematian anak mereka ketika ditemuramah media antarabangsa, semalam.

Meabh dan Sebastian Quoirin memberitahu stesen penyiaran RTE, mereka mahu mencari kebenaran dan keadilan untuk anak mereka itu.

Pasangan itu mendakwa, masih menunggu laporan penuh bedah siasat yang dijalankan di Malaysia dan keputusan bedah siasat kedua selepas mayatnya dibawa ke London.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sekiranya keluarga Nora Anne mahu mendapatkan laporan lengkap bedah siasat itu, mereka perlu membuat permohonan melalui peguam.

“Itu adalah prosedur yang mereka perlu ikut,” katanya.

Ketika ditanya mengenai inkues yang akan dibuat keluarga Nora Anne, Mohamad berkata, ia adalah di bawah bidang kuasa Ketua Peguam Negara, Tommy Thomas.

Nora Anne dilaporkan hilang pada 4 Ogos lalu dipercayai keluar sendiri melalui tingkap tempat penginapan keluarganya di sebuah resort di Pantai, Seremban.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh pasukan keselamatan negara dan mayat Nora ditemui di selepas 10 hari pencarian di kawasan hutan kira-kira 2.5 kilometer dari resort berkenaan.

Mayatnya kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) dan Keputusan bedah siasat Nora mendapati punca kematian disebabkan kebocoran usus akibat tidak makan dalam tempoh panjang dan tekanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 3:30 PM