Siti Azila Alias


PEKERJA kedai kopi terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi Georgetown, hari ini melepas dan membebaskannya daripada dua pertuduhan mengedar dadah, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Azmi Abdullah memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap tertuduh, Lim Kok Pin, 49.

Azmi dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati tertuduh ditahan di tempat dan masa berlainan serta tidak ada berdekatan dan kawalan dengan dadah terbabit.

Katanya, tertuduh juga tidak mempunyai akses kepada kondominium yang mana dadah itu ditemui malah, kunci kondominium tidak ditemui bersama tertuduh ketika ditahan.

Tambah beliau, keterangan saksi pendakwaan ketiga iaitu tuan rumah kondominium itu juga memaklumkan tidak kenal langsung dengan tertuduh.

Malah, tiada asid deoksiribonukleik (DNA) atau barang milik tertuduh ditemui di dalam kondominium terbabit.

LIM Kok Pin, 49, pekerja kedai kopi terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini, hari ini melepas dan membebaskannya daripada dua pertuduhan mengedar dadah, empat tahun lalu. FOTO Mikail Ong
LIM Kok Pin, 49, pekerja kedai kopi terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini, hari ini melepas dan membebaskannya daripada dua pertuduhan mengedar dadah, empat tahun lalu. FOTO Mikail Ong

Terdahulu, mengikut pertuduhan pertama, Kok Pin dituduh bersama-sama seorang lagi yang sudah meninggal dunia, Teoh Ewe Chooi mengedar 2267.3 gram heroin dan monoacetylmorphine.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumah di Solok Tembaga, Taman Tembaga dalam Daerah Timur Laut 4.20 petang, pada 5 Februari 2015.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh bersama-sama seorang lagi yang meninggal dunia pada masa dan tempat sama didakwa dengan niat bersama mengedar 1485.3 gram methamphetamine.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kok Pin diwakili peguam Hussaini Abdul Rashid manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa raya Amril Johari.

Difahamkan, Ewe Chooi yang juga tertuduh kedua meninggal dunia setahun selepas ditahan akibat kanser paru-paru ketika dalam tahanan, dan tidak sempat menghadiri perbicaraan kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 1:21 PM