PACUAN empat roda dan lori yang digunakan suspek. FOTO Ihsan PGA
PACUAN empat roda dan lori yang digunakan suspek. FOTO Ihsan PGA
Poliana Ronnie Sidom


RM700 seorang. Itu upah dikenakan tiga lelaki tempatan untuk membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Paitan ke Tawau.

Ia terbongkar selepas mereka bersama 12 PATI ditahan dalam pemeriksaan di sebuah bangunan rumah kedai di Jalan Sapi - Nangoh, di Beluran, malam tadi.

Individu berkenaan ditahan menerusi Op Taring yang dilakukan oleh sepasukan anggota Batalion 20 (BN 20) Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran.

Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, operasi diketuai oleh Inspektor Jaikry Jack D Joseph yang membuat pemeriksaan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya kemudian mendapati kegiatan memunggah barang dari sebuah pacuan empat roda ke sebuah lori, kira-kira 11 malam.

“Selepas memperkenalkan diri dan menahan tiga lelaki tempatan, pasukan terbabit menemui 12 PATI termasuk dua kanak-kanak yang bersembunyi di hujung bangunan kedai,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua PATI menaiki pacuan empat roda dari Paitan ke Jalan Sapi - Nangoh, manakala barang-barang yang dipunggah adalah milik mereka untuk dibawa ke Tawau.

“Mereka juga mengaku membayar RM700 seorang kepada suspek untuk perjalanan dari Paitan ke Tawau.

“Tiga suspek lelaki berusia 24 hingga 40 tahun, manakala 12 PATI berusia dua hingga 44 tahun. Semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Beluran untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, tiga kenderaan yang digunakan untuk membawa dan menghantar PATI turut dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 10:30 AM