PPS Bukit Balai ditutup hari ini selepas banjir mulai surut. FOTO Nur Saliawati Salberi
PPS Bukit Balai ditutup hari ini selepas banjir mulai surut. FOTO Nur Saliawati Salberi
Nurul Fhatihah Zakinan


KURANG daripada tempoh 24 jam beroperasi, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bukit Balai yang pertama dibuka di Melaka susulan banjir melanda negeri itu semalam ditutup hari ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, 13 mangsa daripada tiga keluarga yang ditempatkan di pusat itu dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas paras air di Kampung Bukit Balai, Alor Gajah mulai surut.

“PPS Bukit Balai ditutup selepas semua mangsa terjejas di kampung itu dibenarkan pulang apabila paras air di kawasan kediaman mereka kembali normal.

“Ia juga berikutan tiada hujan sementara waktu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

PPS Bukit Balai di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Durian Tunggal di Alor Gajah, dibuka 3 petang semalam selepas hujan berterusan sejak pagi.

Turut dilaporkan katanya, Melaka bersedia menerima sehingga 26,000 mangsa banjir untuk ditempatkan di 92 PPS di seluruh negeri yang sudah dimuktamadkan sebagai persediaan awal menghadapi musim banjir di negeri itu.

Katanya, 50 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri turut bersiap siaga 24 jam setiap hari ketika musim banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Disember 2019 @ 12:45 PM