Nurul Hidayah Bahaudin


PEMANDU Perodua Myvi yang ditahan selepas memandu secara berbahaya dan melanggar beberapa kenderaan lain di Jalan Pudu, di Kuala Lumpur, semalam, didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan berkata, ujian saringan air kencing dilakukan mendapati lelaki berusia 25 tahun berkenaan positif methamphetamin dan amphetamin.

“Lelaki berkenaan akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Fahmi berkata, berhubung laporan polis berkaitan kejadian memandu secara melulu serta melanggar beberapa kenderaan lain dilakukan suspek berkenaan, ia akan diserahkan kepada pihak trafik.

“Menurut keterangan saksi yang juga perakam video ketika kejadian, suspek dikatakan cuba menyamun seorang lelaki orang kurang upaya (OKU).

“Namun setakat ini, lelaki OKU berkenaan belum tampil membuat laporan berhubung perkara itu. Kami menasihatkan individu terbabit membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Harian Metro, hari ini, melaporkan seorang penjawat awam ditahan selepas memandu secara berbahaya dan melanggar beberapa kenderaan di Jalan Pudu.

Suspek berjaya ditahan orang awam di Jalan Brunei Utara, jam 5.20 petang, sebelum dibawa anggota kereta unit peronda (MPV) ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, satu video berdurasi kira-kira satu minit yang menunjukkan sebuah Perodua Myvi berwarna biru dikejar penunggang motosikal ketika dipercayai cuba melarikan diri selepas melanggar beberapa kenderaan, tular di media sosial.

b>Berita berkaitan

Kau dah kenapa? [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 4:11 PM