Al-Sultan Abdullah bersama putera baginda selepas perbarisan tamat latihan di RMAS, London. FOTO Bernama
Al-Sultan Abdullah bersama putera baginda selepas perbarisan tamat latihan di RMAS, London. FOTO Bernama
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyuarakan rasa bangga dan gembira dengan pentauliahan putera baginda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Royal Military Academy Sandhurst (RMAS) hari ini.

“Saya amat bangga, hari ini adalah hari yang cukup besar bagi orang muda ini dan sekarang dia sudah bersedia untuk hadapi dunia sebenar.

“Sama seperti saya 40 tahun lalu (ketika saya ditauliahkan) dalam cuaca sejuk sebegini,” titah baginda kepada wartawan pada akhir majlis.

Al-Sultan Abdullah menyertai akademi berkenaan dari 1978 sehingga 1979 dan ditauliahkan Ratu Elizabeth II pada 1980.

Baginda turut menyuarakan harapan agar anakandanya itu menjadi seorang pemimpin yang berjaya pada masa hadapan, selepas melalui pelbagai kepayahan latihan tentera di akademi itu.

“Sekarang kena balik ke Malaysia untuk menunaikan kewajipannya sebagai Pemangku Raja Pahang dan mudah-mudahan dia dapat memberi segala khidmat membantu saya dalam memajukan Pahang.

“Dan lebih penting menjadi seorang yang berwibawa dan bertanggungjawab kepada negara, negeri, agama dan bangsa,” titah baginda.

Tengku Hassanal, 24, adalah antara 242 pegawai kadet yang ditauliahkan di perbarisan Sovereign’s Parade di Sandhurst, yang dirasmikan oleh Sophie, Countess of Wessex, sebagai mewakili Ratu Elizabeth II.

Perbarisan Sovereign’s Parade di penghujung setiap penggal menandakan berakhirnya latihan tentera 44 minggu dan menyaksikan perbarisan pegawai kadet yang menamatkan ‘Commissioning Course’.

RMAS adalah salah satu daripada beberapa akademi tentera United Kingdom serta pusat latihan pegawai tentera British.

Sementara itu Tengku Hassanal berkata, baginda sudah menempuh tahun yang cukup mencabar serta mengajar erti kesabaran dan kerjasama.

Tengku Hassanal berkata, baginda dilayan sama seperti yang lain di akademi itu.

“Apa yang saya akan buat selepas Sandhurst.., saya akan balik ke Pahang dan bantu orang kampung saya sebanyak yang boleh,” titah baginda.

Berita berkaitan

Agong hadir majlis graduasi ketenteraan anakanda

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 1:11 AM