SUKARELAWAN bersama anggota pasukan keselamatan bergotong-royong membersihkan SK Lubuk Periok, hari ini. FOTO Ghazali Kori.
SUKARELAWAN bersama anggota pasukan keselamatan bergotong-royong membersihkan SK Lubuk Periok, hari ini. FOTO Ghazali Kori.
Baharom Bakar


SEBANYAK 10 sekolah termasuk dua sekolah menengah di Hulu Terengganu terjejas banjir sejak Ahad lalu.

Sekolah Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah dan Sekolah Menengah Imtiaz Hulu Terengganu ditenggelami air sehingga 0.5 meter.

Manakala, lapan sekolah lain adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Intan, SK Matang, SK Tengkawang, SK Teris, SK Bukit Tadok, SK Kua, SK Lubuk Periok dan SK Getang.

Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Rosli Chik berkata, pihaknya sedang meneliti kerosakan peralatan sekolah termasuk meja dan kerusi selain perkakas lain untuk taksiran kerugian.

“Pengurusan sekolah berkenaan sudah diminta mengemuka dan membuat taksiran kerugian untuk diserahkan kepada Jabatan Pendidikan negeri.

“Semua peralatan yang rosak akan diganti sebelum sesi persekolahan bermula Januari tahun depan,” katanya ditemui ketika menyertai program gotong-royong pasca banjir anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu di SK Lubuk Periok, Kuala Berang, hari ini.

Rosli berkata, pihaknya menganggarkan kerugian tidak banyak berikutan pengurusan sekolah sudah membuat persiapan lebih awal sebelum bencana.

“Malah kebanyakan sekolah sudah memindahkan peralatan termasuk komputer dan sebahagian meja serta kerusi di tempat yang tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Adli Mat Daud memaklumkan, seramai 250 orang termasuk penduduk kampung menyertai gotong-royong itu yang berlangsung tiga jam.

Katanya, SK Lubuk Periok antara sekolah paling teruk terjejas dan perlu dibersihkan segera.

“Berdasarkan jangkaan awal dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, mungkin akan berlaku dua ke empat kali lagi banjir sehingga Mac depan.

“Semua sekolah yang berada di kawasan rendah termasuk SK Lubuk Periok dijangka ditenggelami air jika bencana berulang,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 4:44 PM