Rizanizam Abdul Hamid


SERAMAI 51 warganegara China berusia antara 17 dan 46 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Sesyen di Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan menjadikan rumah sebagai pusat judi terbuka dan melakukan kegiatan penipuan dalam talian.

Daripada jumlah itu, 22 tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan menguruskan komputer riba dan telefon bimbit serta menjadikan rumah sebagai pusat perjudian

Pengakuan itu direkodkan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim yang kemudian menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM20,000 terhadap setiap tertuduh.

Mahkamah sama turut menetapkan tambahan dua bulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda.

Mereka melakukan kesalahan itu di Taman Kota Bendahari, Klebang Besar, Melaka antara 4 petang dan 4.10 petang, 19 November 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas dan penjara tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, 29 lagi tertuduh masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan menjalankan kegiatan penipuan, memberi pinjaman wang secara dalam talian yang tidak wujud dengan menyasarkan mangsa dari China.

Pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Norma Ismail dan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama pada 19 dan 20 November 2019 dan ia salah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 120B(1) kanun sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari, Intan Lyiana Zainal Abidin, Hayatul Wirdah Mohd Yunos dan Lee Wai Yi, manakala peguam Thomas Chin dan H P Ooi mewakili 51 tertuduh itu termasuk 10 wanita.

Terdahulu, pasukan pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap 29 tertuduh dan mahkamah tidak membenarkan tertuduh itu diikat jamin selain, menetapkan 8 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 3:34 PM
RAKYAT China yang didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Ayer Keroh, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad.
RAKYAT China yang didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Ayer Keroh, hari ini. FOTO Rasul Azli Samad.