Raja Noraina Raja Rahim


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan bersiap pada bila-bila masa untuk menghantar anggota bagi membantu mangsa banjir di pantai timur.

Pengarah JBPM negeri, Hamdan Ali berkata, ketika ini peralatan logistik milik JBPM Negeri Sembilan sudah dihantar ke Terengganu dan Kelantan untuk menampung keperluan pasukan keselamatan di negeri berkenaan.

“Kita sudah menghantar sebanyak dua bot dan dua lori kepada Pahang sebelum diserahkan kepada negeri yang dilanda banjir. Setakat ini, tiada permintaan untuk tambahan kekuatan anggota.

“Di sana (pantai timur) ada pusat penilaian banjir yang akan menilai keperluan kegunaan peralatan dan anggota,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan dan Pemakaian Pangkat di Ibu Pejabat JBPM Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

ANGGOTA bomba memeriksa peralatan keselamatan untuk persediaan menghadapi banjir di Ibu Pejabat JBPM Negeri Sembilan, Seremban 2. FOTO Iqmal Haqim Rosman
ANGGOTA bomba memeriksa peralatan keselamatan untuk persediaan menghadapi banjir di Ibu Pejabat JBPM Negeri Sembilan, Seremban 2. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Pada program itu, seramai 106 anggota menerima kenaikan pangkat selepas bertugas melebihi had perkhidmatan 13 tahun.

Mengulas mengenai persiapan banjir di Negeri Sembilan, Hamdan berkata, pihaknya mengenal pasti sebanyak 113 lokasi ‘hotspot’ banjir di negeri ini.

Beliau berkata, ia membabitkan 34 lokasi di Seremban, Port Dickson (18), Jelebu (18), Rembau (16), Tampin (lapan) dan Kuala Pilah (tujuh).

“Buat masa ini, keadaan banjir di negeri ini hanya di peringkat banjir kilat dan terkawal,” katanya.

Malah katanya, seramai 500 pegawai dan anggota dibekukan cuti bagi bertindak pantas sekiranya berlaku banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 12:33 PM