ANTARA kenderaan terbabit kemalangan itu. FOTO Ihsan Bomba
ANTARA kenderaan terbabit kemalangan itu. FOTO Ihsan Bomba
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


DUA kanak-kanak antara tiga penumpang yang cedera dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 35, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) berhampiran Terowong Genting Sempah, dekat Gombak, malam tadi.

Dalam kejadian 7.25 malam itu, kemalangan membabitkan 10 kereta dan sebuah bas.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 7.30 malam.

“Satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dengan kekuatan enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja menyelamat.

“Setiba di lokasi kejadian, terdapat dua kanak-kanak penumpang kenderaan cedera di bahagian kepala dan seorang wanita cedera di pergelangan tangan,” katanya.

Hafisham berkata, anggota bomba bertindak membawa mangsa yang cedera ke tempat yang selamat sebelum semua mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut.

“Sepuluh kereta pelbagai jenama mengalami kerosakan dialihkan ke tepi jalan. Sebuah bas persiaran juga terbabit dalam kemalangan berkenaan menyebabkan berlaku sedikit kesesakan lalu lintas.

“Setakat ini punca kemalangan masih dalam siasatan, kejadian dipercayai berlaku ketika cuaca hujan lebat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 9:46 AM