AIDI Sham (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan kad bank dan wang tunai dirampas daripada suspek pada sidang media di IPD Port Dickson, hari ini. FOTO Mohd Khidir Zakaria.
AIDI Sham (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan kad bank dan wang tunai dirampas daripada suspek pada sidang media di IPD Port Dickson, hari ini. FOTO Mohd Khidir Zakaria.
Mohd Khidir Zakaria


LELAKI ditahan selepas dipercayai terbabit dalam 15 kes penipuan pinjaman wang tidak wujud membabitkan kerugian lebih RM260,000 di PD Waterfront, Port Dickson, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya turut merampas wang tunai RM8,000, 12 kad bank dan dua telefon bimbit.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 22 tahun itu terbabit dalam 15 kes penipuan di beberapa daerah di seluruh negara.

“Semakan 12 kad bank berkenaan mendapati ia bukan milik suspek dan dipercayai digunakan untuk penipuan 15 kes pinjaman wang tidak wujud berlainan dengan jumlah kerugian hampir RM260,000.

“Sehubungan itu, polis polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan berbentuk pinjaman dan perlu melalui saluran betul seperti bank atau syarikat pinjaman berlesen jika mahu membuat pinjaman wang.

“Bagi mengenalpasti nombor akaun ‘scammer’ atau dalam siasatan polis, boleh semak melalui portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil iaitu ccid.rmp.gov.my/semakmule. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, hari ini.

Dalam kes berlainan, Aidi Sham berkata, polis menahan tiga lelaki selepas sejam menyamun kedai runcit di Kuala Lukut, Port Dickson.

“Dalam kejadian 17 November lalu, polis menerima aduan mangsa disamun pada 10.20 pagi di kedai runcit di Kuala Lukut.

“Suspek bersenjatakan parang dan menaiki kereta Perodua Myvi berwarna perak. Hasil tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Port Dickson berjaya menahan kereta suspek yang dalam perjalanan ke arah Sepang, Selangor,” katanya.

Beliau berkata, turut dirampas bersama suspek berusia antara 17 hingga 22 tahun itu adalah sebilah parang dan wang tunai RM860.

Menurutnya, siasatan mendapati semua suspek terbabit dalam beberapa kes samun di Nilai, Negeri Sembilan dan Kajang, Selangor.

Katanya, semua suspek dibawa ke IPD Kajang untuk siasatan lanjut kes mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 8:42 PM