Siti Sofia Md Nasir


PAKATAN Harapan (PH) melakukan pemilihan Menteri berdasarkan merit dan keupayaan pemimpin terbabit dan bukannya kerana perkauman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, desakan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng digugurkan daripada Kabinet adalah bersifat sentimen.

“Negara ini pelbagai kaum. Mereka (Menteri) dilantik kerana merit, bukan kaum mereka.

“Kecuali kalau PAS bila mentadbir nanti, jika mereka mahu lantik semua Menteri Islam, (itu) saya harap PAS dapat yakinkan semua orang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Simposium Wakaf Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

Mujahid berkata, desakan Tuan Ibrahim yang mahu Guan Eng digugurkan daripada Kabinet itu juga perlu dilihat secara menyeluruh, terutamanya impaknya terhadap ekonomi semasa.

MUJAHID berucap pada program Simposium Wakaf Negeri Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
MUJAHID berucap pada program Simposium Wakaf Negeri Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong

“Sebagai parti pembangkang, mereka boleh cakap apa yang mereka tahu. Tapi akhirnya, mereka perlu lihat perkara yang lebih penting seperti kesannya kepada ekonomi dan awam, itu lebih penting daripada kita kritik suruh letak jawatan kerana sentimen,” katanya.

Pada 21 November lalu, Tuan Ibrahim mencadangkan nama Guan Eng supaya digugurkan daripada Kabinet Persekutuan, berdasarkan prestasinya yang dianggap mengecewakan.

Tuan Ibrahim dilapor menyifatkan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan yang tidak memberangsangkan, berdasarkan agihan kewangan dalam Belanjawan 2020 yang tidak seimbang.

Kenyataan itu bagaimanapun dinafikan Guan Eng, selain Ahli Parlimen Bagan itu menyifatkan dakwaan Tuan Ibrahim adalah permainan sentimen PAS, selaras dengan pendirian dasar parti berkenaan bahawa warga bukan Islam tidak layak menjawat jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 2:34 PM