WARGA emas OKU maut selepas terperangkap dalam kebakaran rumahnya. FOTO ihsan Bomba
WARGA emas OKU maut selepas terperangkap dalam kebakaran rumahnya. FOTO ihsan Bomba
Siraj Mohd Zaini


WANITA warga emas orang kurang upaya (OKU) sempat menyelamatkan jirannya sebelum maut akibat terperangkap dalam kebakaran rumah di Jalan Haji Abd Majid, Kampung Sungai Pinang, Klang, hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Klang, Khairul Azhar A Rahman berkata, mangsa Li Lam Seng, 78, yang kudung kakinya sempat menyelamatkan jiran dengan cara mengetuk pintu belakang rumahnya.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, kebakaran membabitkan dua rumah teres di kawasan berkenaan.

“Ketika kejadian anak lelaki mangsa berusia 30-an yang tinggal bersama tiada di rumah kerana keluar berniaga.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan meniarap dan rentung dibahagian pintu belakang rumah dipercayai mahu menyelamatkan diri,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.13 pagi.

Menurutnya, 37 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Kota Raja, Kapar dan Pelabuhan Klang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa wanita warga emas itu ditemui melecur 90 peratus akibat kebakaran berkenaan.

“Mangsa dijumpai pada jam 4.49 pagi dan disahkan meninggal dunia,” katanya kepada Harian Metro.

Berita berkaitan:

  • Warga emas maut rumah terbakar
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 12:02 PM