Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menumpaskan 20 sindiket pinjaman tidak wujud dengan penahanan 174 sindiket dalam operasi dilakukan di beberapa negeri sejak Januari hingga awal November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, sebanyak 20 serbuan Operasi ‘Calling Centre’ itu dilakukan di Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak.

“Hasil siasatan dilakukan mendapati semua suspek berkenaan dipercayai terbabit dengan 779 mangsa membabitkan kerugian kira-kira RM8 juta.

“Daripada tangkapan itu, seramai 62 individu sudah dituduh di mahkamah bagi kesalahan subahat dalam melakukan jenayah tipu mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan selain kesalahan lain mengikut Seksyen 411/424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Zakaria berkata, sebanyak 1,568 kes pinjaman tidak wujud sudah dituduh di mahkamah pada tahun ini atas pelbagai kesalahan termasuk bersubahat atau membantu sindiket terbabit melakukan penipuan.

“Pada 2018, 4,127 kes pinjaman tidak wujud dilaporkan membabitkan kerugian lebih RM35 juta dan jumlah itu meningkat sebanyak 115 kes kepada 4,287 dengan kerugian RM57 juta bagi tempoh Januari hingga 10 November lalu.

“Berdasarkan trend semasa, kami menjangkakan jumlah kes direkodkan akan terus meningkat menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengesan beberapa golongan profesional seperti pegawai bank, peguam, doktor dan guru yang menjadi mangsa penipuan sindiket tidak wujud.

“Sindiket ini menggunakan modus operandi sama iaitu berurusan melalui media sosial sebelum meminta mangsa memasukkan sejumlah wang kononnya sebagai yuran proses, duti setem, bayaran pendahuluan, insurans, bayaran khidmat guaman dan lain-lain.

“Mangsa hanya menyedari tertipu selepas sudah memberikan wang yang banyak, namun pinjaman wang dipohon tidak diberikan menyebabkan mereka tampil membuat laporan polis.

“Ada kes yang dilaporkan membabitkan mangsa mengalami kerugian lebih tinggi berbanding jumlah pinjaman yang dipohon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 1:31 PM