FOTO Hiasan FOTO Arkib NSTP
FOTO Hiasan FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


AKTIVITI pembalakan haram di kawasan Debak, terbongkar dengan penemuan 220 batang balak pelbagai jenis dalam serbuan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5, di sebuah kilang papan di Betong yang disyaki beroperasi secara haram semalam.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, ketika serbuan anggotanya pada 2.30 petang, kilang berkenaan sedang beroperasi dan pemilik kilang gagal mengemukakan lesen.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati semua kayu balak itu disyaki diperoleh secara tidak sah kerana tiada sebarang tanda hak milik, tanda Jabatan Hutan Sarawak dan tanda cukai.

Berikutan itu katanya, balak berkenaan bersama beberapa peralatan memproses balak dirampas.

“Nilai keseluruhan rampasan itu dianggarkan RM425,750.

“Rampasan itu merangkumi kayu balak yang sudah dipotong, dua mesin memproses papan lapis, gergaji rantai, jentolak dan trak angkat susun,” katanya.

Shamsol berkata, semua rampasan itu diserahkan kepada pejabat Jabatan Hutan Sarawak di Sri Aman untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Ordinan Perhutanan Sarawak 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 12:12 PM