Shahrinnahar Latib

TERMAKAN dakwaan kononnya maklumat dirinya disalahgunakan pihak lain, lelaki menanggung kerugian RM19,997.80 selepas diperdaya sindiket Macau Scam di Kuantan semalam.

Kejadian bermula apabila mangsa berusia 41 tahun menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai sebuah bank.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek mendakwa mangsa membuat pengeluaran wang RM7,000 di Puchong, Selangor dan kad berkenaan dibuat di Subang Jaya.

“Mangsa menafikan dakwaan itu dan suspek mendakwa maklumat peribadi mangsa disalahgunakan pihak lain.

“Suspek juga meminta mangsa mengemukakan butiran perbankannya bagi membuat semakan.

“Mangsa menyerahkan maklumat perbankan atas talian berserta kata laluan kepada suspek untuk membuat semakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada hari sama, mangsa menerima nombor TAC yang mahu mengubah had pemindahan akaun RM20,000.

“Tidak lama kemudian terdapat dua transaksi pemindahan wang ke dalam satu akaun yang masing-masing berjumlah RM9,998.95

“Mangsa memberikan semua nombor TAC yang dihantar oleh bank kepada suspek sebelum menyedari dirinya ditipu sindiket Macau Scam,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian meminta bank menyekat segala transaksi perbankan atas talian daripada akaun miliknya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 11:06 AM