SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada 3 pegawai dan 103 anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen Kem Sangro Taiping pada Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak di Istana Iskandariah. FOTO Muhaizan Yahya
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada 3 pegawai dan 103 anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen Kem Sangro Taiping pada Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak di Istana Iskandariah. FOTO Muhaizan Yahya
Shaarani Ismail


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, cabaran dan ancaman paling dekat yang sangat kritikal yang boleh meruntuhkan negara dengan pantas adalah ledakan kemarahan sesama rakyat, berpunca daripada perselisihan kaum dan agama.

Titah baginda, Malaysia yang dibina dengan falsafah kenegaraan yang begitu baik, sedang menghadapi perkembangan yang boleh mengancam perpaduan warganya.

“Slogan-slogan atas nama kaum yang bersifat provokatif dan retorik atas nama agama yang bernada ekstrem, kini kelihatan semakin digemakan.

“Slogan dan retorik sedemikian, laksana bara yang mula menyalakan puntung, menyalakan unggun, jika tidak segera dibendung, akan menyemarakkan api permusuhan yang boleh memusnahkan negara.

“Dibimbangkan rakyat semakin direnggangkan dan rakyat kelihatan semakin hilang kompas pedoman untuk menemui titik penyatuan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ke-63 Sultan Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi.

Titah Sultan Nazrin, negara ketika ini memerlukan paradigma yang progresif, yang membolehkan rakyat berasa senang dan selesa serta tidak memiliki prasangka dan curiga, sebaliknya berminda terbuka menghargai kepelbagaian yang dikurniakan di bumi Malaysia.

Titah baginda, sempena sambutan Maulidur Rasul semalam, amatlah bertepatan untuk pemimpin di semua peringkat, dalam kalangan pemimpin Islam dan juga bukan Islam menyelami dan menghayati seterusnya mengamalkan sirah yang telah ditinggalkan Rasulullah SAW untuk dijadikan panduan membawa suara kesederhanaan, perdamaian dan penyatuan.

Baginda bertitah, Rasulullah SAW membuktikan keadilan adalah faktor yang menentukan penerimaan dan rasa hormat pengikut kepada pemimpin dan keadilan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW itu dinikmati oleh umat Islam dan bukan Islam.

“Bukan Islam turut dijamin perlindungan keselamatan, dijamin kebebasan beragama, dijamin untuk mengamalkan budaya masing-masing serta dijamin hak untuk melakukan pelbagai kegiatan ekonomi dan pembangunan sosial.

“Negara ketika ini tidak memerlukan panglima untuk berperang, tetapi negara teramat memerlukan diplomat untuk menjalinkan persaudaraan; seorang yang luas lagi jauh pandangannya, matang, sabar, tenang dan rasional pendekatannya agar melalui kebijaksanaan dan hikmahnya, suhu panas dapat diturunkan dan negara dapat dihindarkan daripada dilanda bencana, disebabkan perselisihan kaum agama,” titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 12:06 PM