KAMALRUZAMAN memberi anugerah pingat  pada Majlis Perbarisan Pembubaran MALBATT 850-6 di Pusasda, Port Dickson, semalam. FOTO Mohd Khidir Zakaria
KAMALRUZAMAN memberi anugerah pingat pada Majlis Perbarisan Pembubaran MALBATT 850-6 di Pusasda, Port Dickson, semalam. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

TERLALU banyak sekatan jalan raya serta kerenah lain yang dihadapi ketika bertugas dalam misi Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) di selatan Lubnan membuatkan anggota Malaysian Battalion 850-6 (MALBATT 850-6) bersyukur dengan keamanan dikecapi Malaysia.

Meskipun pelbagai cabaran dihadapi ketika bertugas di negara bergolak itu, dedikasi dan disiplin yang ditunjukkan menyebabkan masyarakat di negara berkenaan yakin dengan kebolehan petugas dari Malaysia.

Pegawai Staf 1 Gerak Malbatt 850-6, Leftenan Kolonel Nazaruddin Ismail, 47, berkata, pasukannya ditugaskan di sempadan antara selatan Lubnan dan utara Israel dengan mengadakan rondaan sektor sebelah barat Lubnan.

“Tumpuan kami lebih kepada kebajikan penduduk tempatan yang semakin mesra dengan anggota kita. Ia menunjukkan mereka percaya kredibiliti kami dalam menjalankan tugas. Ia juga ada kaitan dengan prestasi yang ditunjukkan petugas sebelum ini.

“Kami juga sempat mengadakan latihan bersama anggota tentera Lubnan serta beberapa negara lain. Bagaimanapun, cabaran yang paling kerap dihadapi adalah terlalu banyak sekatan jalan raya di sepanjang perjalanan selain jalan sempit dan laluan yang terhad.

“Perkara ini membuatkan saya bersyukur dengan keamanan yang kita kecapi di Malaysia,” katanya selepas Majlis Perbarisan Pembubaran Pasukan MALBATT 850-6 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson, semalam.

Ketua Pegawai Perubatan, Mejar Dr Sharifah Lini Malihan Datuk Syed Khalid, 34, berkata, pengalaman berkhidmat di Lubnan cukup berharga.

“Sebagai anggota tentera wanita, tiada masalah besar kerana penduduk tempatan menerima kami dengan baik tanpa mengira jantina.

“Cabaran utama kami adalah masalah bahasa kerana tidak ramai yang boleh berbahasa Inggeris, hanya bahasa isyarat digunakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Kamalruzaman Mohd Othman (TUDM) yang mewakili Panglima Angkatan Tentera berkata, 850 pegawai dan anggota yang bertugas di Lubnan selamat kembali ke tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 6:10 AM