BAS persiaran membawa 30 penumpang untuk bercuti ke Genting Highlands, Pahang, terbalik. FOTO Ihsan Bomba
BAS persiaran membawa 30 penumpang untuk bercuti ke Genting Highlands, Pahang, terbalik. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop


SERAMAI 14 penumpang cedera selepas bas persiaran membawa 30 penumpang untuk bercuti ke Genting Highlands, Pahang, terbabas di Kilometer 315 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Tapah, hari ini.

Dalam kejadian 5.10 pagi itu, kesemua penumpang yang cedera adalah warga Indonesia yang dipercayai bekerja di Pulau Pinang dan mengikuti rombongan untuk bercuti ke Genting Highlands.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati bas membawa 30 penumpang itu dari Pulau Pinang menuju ke Genting Highlands sebelum dipercayai terbabas sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Pemandu bas berusia 34 tahun dipercayai gagal mengawal bas dan hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan serta terbalik di bahu jalan sebelah kiri mengakibatkan 14 penumpang cedera.

“Kesemua penumpang mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan, manakala pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Wan Azharudin berkata, kesemua mangsa yang cedera berusia 19 hingga 42 tahun dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan itu berlaku.

Katanya, tiada tangkapan dilakukan setakat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 11:28 AM