Syaherah Mustafa


PASUKAN Gerakan Am (PGA) Batalion 8 di Pengkalan Chepa merampas 1.6 juta batang rokok bernilai lebih RM2.4 juta di Pengkalan Haram Kuala Jambu, Rantau Panjang, hari ini.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalian 8 PGA, Ab Aziz Che Embong berkata, rampasan jam 4 pagi membabitkan 8,000 karton rokok dimuatkan dalam 160 kotak.

Katanya, pihaknya membuat intipan sebelum mengesan lima lelaki sedang memunggah kotak ke dalam sebuah lori yang berada di tebing sungai sebelah Malaysia.

“Sebaik anggota membuat serbuan, lima suspek bertindak melarikan diri dengan terjun ke Sungai Golok dan meninggalkan semua barang dipercayai diseludup dari Thailand.

“Mereka menggunakan modus operandi menjalankan aktiviti penyeludupan pada waktu tengah malam sehingga awal pagi.

“Hasil siasatan semua rokok ini bukan sahaja untuk pasaran di Kelantan, malah seluruh negara,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara PGA Lubok Stol, hari ini.

Ab Aziz berkata, taktik atau strategi dijalankan mereka yang melakukan jenayah rentas sempadan akan sentiasa diperhatikan PGA dalam membanteras lebih banyak aktiviti penyeludupan.

Dalam perkembangan lain, Jumaat lalu, PGA dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas barang kawalan minyak masak dan tepung gandum bernilai RM50,000.

“Kejayaan ini adalah bukti hasil kerjasama baik dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) dalam mengawal sempadan.

“Pihak kami sentiasa memberi khidmat terbaik dalam mengekang jenayah rentas sempadan terutama di sepanjang kawasan kawalan bermula di Pengkalan Kubor sehingga Rantau Panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 6:36 PM
PGA menunjukkan 8,000 karton rokok dengan nilai rampasan RM2.4 juta dalam rampasan di tebing Sungai Golok, Rantau Panjang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PGA menunjukkan 8,000 karton rokok dengan nilai rampasan RM2.4 juta dalam rampasan di tebing Sungai Golok, Rantau Panjang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar