Lateefa Koya (tengah) bergambar bersama pengarang kanan pengamal media pada Malam Apresiasi Media Bersama SPRM 2019. FOTO Luqman Hakim Zubir
Lateefa Koya (tengah) bergambar bersama pengarang kanan pengamal media pada Malam Apresiasi Media Bersama SPRM 2019. FOTO Luqman Hakim Zubir
Hairulazim Mahmud


“MEDIA harus melaporkan secara bertanggungjawab setiap isu rasuah, menjelaskan kepada masyarakat maklumat sebenar sehingga masyarakat membenci dan jijik dengan rasuah,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

Beliau berkata, sehubungan itu media hendaklah membantu SPRM dalam menjayakan siasatan dengan tidak melaporkan sesuatu kes yang masih disiasat sehingga mungkin menjejaskan siasatan.

Bagaimanapun beliau menyeru supaya media dan SPRM bersatu serta senada dalam memerangi rasuah.

“Jenayah rasuah tidak harus diberi ruang sama sekali untuk meracuni dan meruntuhkan pembangunan negara kita.

“Pengamal media tidak boleh mudah terpengaruh dengan pihak berkepentingan selain mesti mampu mengenali puak yang mempergunakan media demi kepentingan mereka semata-mata dan bukan demi pembangunan bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Apresiasi Media Bersama SPRM 2019 di Putrajaya malam ini.

Turut hadir ketua pengarang media cetak, elektronik dan dalam talian.

Latheefa berkata, media mempunyai etika dan profesionalisme dalam tugasnya sama seperti penjawat profesional lain.

Sehubungan itu katanya, media perlu mendapatkan berita melalui cara dan pelaporan beretika dengan meletakkan kesamarataan serta keadilan kepada semua pihak dalam melaporkan sesuatu isu.

“Saya percaya keikhlasan wartawan dan seluruh pengamal media dalam melaksanakan tanggungjawab mereka akan memberi manfaat kepada kita semua.

“Pada masa sama, saya berharap wartawan juga yakin kepada komitmen kerajaan dan SPRM khususnya dalam memerangi rasuah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 10:21 PM