Rina merasmikan program KEMAS TaLK 2019 di Kuala Lumpur hari ini. FOTO Owee Ah Chun
Rina merasmikan program KEMAS TaLK 2019 di Kuala Lumpur hari ini. FOTO Owee Ah Chun
Rosyahaida Abdullah


KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar optimis memastikan semua guru yang berkhidmat di taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) KEMAS memiliki kelulusan ijazah sarjana muda dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ketika ini lebih 70 peratus daripada hampir 11,196 guru tabika sudah memiliki kelulusan diploma dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Menurutnya, sekitar 30 peratus lagi sedang mengikuti pengajian secara berperingkat yang perlu diselesaikan sepenuhnya sebelum pelaksanaan untuk kelulusan minimum ijazah sarjana muda bermula.

“Tenaga pengajar berkelulusan ijazah sarjana muda pastinya menyokong hasrat kita untuk menyediakan sistem pengajaran dan pembelajaran terbaik yang lebih berkualiti seiring peredaran zaman buat lebih 230,000 kanak-kanak Tabika KEMAS di seluruh negara.

“Perbincangan sudah ada dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) namun tentunya ia melalui proses yang panjang antaranya dari segi perjawatan, tangga gaji dan sebagainya.

“Namun kita mahu dalam tempoh 10 tahun akan datang, sekurang-kurangnya proses meningkatkan kelulusan bertaraf diploma kepada ijazah sarjana muda bagi guru Tabika KEMAS sudah bermula dan berjalan rancak,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Program KEMAS TaLK 2019 Pendidikan Awal Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan serentak pelancaran Pelan Kualiti Perkhidmatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PKPAK) 2020-2030.

Dalam PKPAK, lapan strategi digariskan memperkasa pendidikan awal kanak-kanak di bawah KEMAS termasuk sasaran kelulusan ijazah sarjana muda dalam kalangan guru Tabika KEMAS di bawah Strategi 7 iaitu Meningkatkan Profesionalisme Pemaju Masyarakat (PM), Pembantu PM (PPM), PPM Sukarela (PPMS) dan Jurulatih.

Rina berkata, strategi sama turut meliputi matlamat untuk menaiktaraf PPMS kepada perjawatan tetap dalam KEMAS dan melaksanakan Program Sangkutan kepada PM bagi meningkatkan ilmu dan pengalaman mereka.

“Program Sangkutan ini menempatkan PM di luar organisasi KEMAS secara sementara bagi tujuan menimba ilmu di tempat terbabit untuk dimanfaatkan di KEMAS.

“Saya juga suka untuk berkongsi inisiatif KEMAS seiring pembelajaran era IR4.0 yang mana KEMAS memperkenalkan Modul e-STREAM iaitu ‘Science’, ‘Technology’, ‘Religions’, ‘Engineering’, ‘Arts’ dan ‘Mathematics’ yang bertujuan memupuk minat kanak-kanak dalam semua bidang terbabit seawal usia,” katanya.

Sementara itu, Program KEMAS TaLK 2019 menyaksikan bual bicara beberapa pakar industri berkaitan antaranya pendakwah bebas Ustaz Elyas Ismail dan Timbalan Naib Canselor Inovasi dan Penyelidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Noraini Idris dengan Ally Iskandar selaku moderator.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 4:26 PM