LAPORAN Harian Metro.
LAPORAN Harian Metro.
Mohd Sabran Md Sani


JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor sedang melakukan siasatan terperinci berhubung insiden serangan gajah membabitkan pekerja ladang di tepi jalan ladang di Lenggor Jemaluang, Mersing, malam tadi.

Pengarah PERHILITAN Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Perhilitan Daerah Mersing untuk ke lokasi bagi menyiasat kejadian itu.

“Setakat ini butiran lengkap mangsa masih belum diperoleh, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui identiti mangsa.

“Empat kakitangan PERHILITAN Daerah Mersing dihantar untuk menyiasat ke tempat kejadian pada 10 pagi ini selepas menerima laporan 9 pagi,” katanya dihubungi, hari ini.

Katanya, pihaknya akan mendapatkan keputusan bedah siasat daripada pihak hospital bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

Katanya, gajah terbabit dipercayai dari kumpulan Jemaluang dianggarkan antara 20 hingga 30 ekor.

Terdahulu, pekerja ladang warga asing maut dipercayai diserang dan dipijak gajah di tepi jalan ladang di Lenggor Jemaluang, Mersing, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, Balai Polis Jemaluang menerima makluman awal daripada orang awam pada 9.30 malam mengenai seorang lelaki cedera parah di tepi jalan akibat diserang dan dipijak gajah.

Berita berkaitan

Maut dipercayai dipijak gajah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 2:12 PM