Mohd Sabran Md Sani


PEKERJA ladang warga asing maut dipercayai diserang dan dipijak gajah di tepi jalan ladang di Lenggor Jemaluang, Mersing, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, Balai Polis Jemaluang menerima makluman awal daripada orang awam pada jam 9.30 malam mengenai seorang lelaki cedera parah di tepi jalan akibat diserang dan dipijak gajah.

“Mangsa dihantar ke Hospital Mersing oleh orang awam dan disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, mangsa dipercayai pekerja ladang berhampiran tempat kejadian.

“Mangsa dipercayai warga asing dengan keadaan berkulit gelap, badan sederhana, tinggi kira-kira 165 hingga 170 sentimeter (cm) berusia 35 hingga 45 tahun.

“Mangsa berpakaian baju T berkolar warna hijau muda,” katanya.

Katanya, sehingga kini butiran lengkap mangsa belum diperoleh dan siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca kematian.

“Polis memohon sesiapa yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 12:12 PM