PEGAWAI Pemantau Harga KPDNHEP KL, Siti Hani Hussain (kiri) bersama Nurhidayani Yasin memeriksa bawang yang juga barang kawalan. FOTO Supian Ahmad.
PEGAWAI Pemantau Harga KPDNHEP KL, Siti Hani Hussain (kiri) bersama Nurhidayani Yasin memeriksa bawang yang juga barang kawalan. FOTO Supian Ahmad.
Khairul Najib Asarulah Khan


BANJIR di India tidak menjejaskan bekalan bawang di negara ini, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin.

Katanya, India sememangnya negara pembekal utama bawang di Malaysia dan banjir di negara itu secara tidak langsung menjejaskan tanaman.

Namun, katanya, pihaknya mempunyai langkah untuk mengelak bekalan bawang terjejas, antaranya memastikan pemborong utama menyalur bekalan secara berkala, terutama di ibu negara.

“Kita sudah adakan pertemuan dengan pemborong utama di Kuala Lumpur, Rabu lalu dan hasilnya, pemborong masih ada bekalan yang cukup serta mampu agihkan barang seperti biasa.

“Sekiranya stok berkurangan pemborong akan import bekalan dari China atau Pakistan.

“Dengan itu, tidak akan timbul masalah bekalan tidak mencukupi dan harganya tetap sama,” katanya ditemui selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2019 di sebuah pusat beli-belah di Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Ariffin berkata, skim harga maksimum itu sudah bermula Ahad lalu sehingga 2 November dan 96 penguat kuasanya akan melakukan pemeriksaan bagi memantau harga 19 barangan di bawah kawalan.

Barangan itu antaranya, ayam hidup berharga RM5.30 sekilogram (kg) untuk borong, manakala harga runcit RM5.80/kg; ayam standard RM6.60/kg (borong) dan RM7.30/kg (runcit); daging kambing tempatan bertulang RM44.00/kg (borong) dan RM47.00/kg (runcit); daging kambing dan bebiri import bertulang RM20/kg (borong) dan RM25.00/kg (runcit).

“Peniaga yang tidak mematuhi peraturan senarai harga itu sepanjang SHMMP ini boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 7:46 PM