BERNAMA

KERAJAAN Kedah dijangka mengutip hasil negeri sebanyak RM701.94 juta pada 2020, lebih rendah berbanding anggaran kutipan hasil 2019 iaitu sebanyak RM710 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2020 di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini berkata, anggaran hasil lebih rendah itu kerana pengurangan hasil hutan disebabkan keputusan kerajaan negeri mengutamakan pengekalan kawasan tadahan air.

“Anggaran sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) juga dikurangkan daripada RM15 juta kepada RM1.5 juta berdasarkan prestasi anak-anak syarikat dan memberi ruang kepada mereka untuk memulihkan keadaan.

“Anggaran hasil juga dibuat secara realistik berdasarkan keadaan semasa dengan mengambil kira semua punca hasil, punca kuasa sedia ada, data-data terperinci dan prestasi semasa kutipan hasil,” katanya.

Beliau berkata, belanjawan bertemakan ‘Bajet Berhemah, Bina Kemakmuran Bersama’ itu juga menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.097 bilion merangkumi perbelanjaan mengurus, pembangunan negeri dan pembangunan bekalan air.

Mukhriz berkata, bagi perbelanjaan mengurus, sebanyak RM759.49 juta diperuntukkan, manakala peruntukan pembangunan sebanyak RM182.21 juta dan bagi projek pembangunan bekalan air, sebanyak RM155.47 juta diperuntukkan yang menggunakan pinjaman daripada kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan kerajaan, Belanjawan Kedah 2020 menganggarkan defisit berjumlah lebih RM57.547 juta atau 8.2 peratus, berbanding 8.14 peratus bagi 2019.

Katanya antara perancangan kerajaan negeri bagi memastikan kutipan hasil 2020 dapat dicapai adalah dengan menyelesaikan isu tunggakan cukai tanah berjumlah RM89.1 juta, dengan mengeluarkan Notis Tuntutan: Tunggakan Sewa (Borang 6A) kepada tuan punya tanah yang enggan menjelaskan tunggakan.

“Bagi memudahkan pembayaran cukai, kerajaan negeri akan melaksanakan kemudahan pembayaran secara dalam talian menggunakan (aplikasi) ‘Kedah Payment Gateway’ bermula Januari 2020.

“Kerajaan mengharapkan semua ahli-ahli yang berhormat menyokong tindakan tegas dalam penguatkuasaan kutipan hasil negeri,” katanya.

Mukhriz berkata, dalam membina kemakmuran rakyat pula, kerajaan negeri akan meneruskan bantuan khas kepada golongan wanita menerusi Tabung Khas Wanita Negeri Kedah dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi 2020.

“Sejak dilancarkan pada Februari 2019, sumbangan telah diberikan kepada 960 wanita di 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berjumlah RM480,000, bagi kategori wanita yang menjadi ketua isi rumah kerana suami terlantar dan wanita yang menjaga ibu bapa sakit terlantar,” katanya.

Program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) juga, kata beliau, didapati sangat berkesan dan pada masa ini pemutihan data sedang dibuat dan nama-nama yang layak akan dipertimbangkan untuk menerima bantuan itu bagi tahun hadapan.

Beliau berkata peruntukan sebanyak RM24.8 juta disediakan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk melaksanakan pelbagai skim bantuan seperti bantuan am bulanan, bencana, insentif pendaftaran orang kelainan upaya, elaun latihan sambil belajar dan geran-geran untuk rumah anak yatim serta pusat pemulihan dalam komuniti.

Katanya, kerajaan negeri tidak melupakan golongan kurang bernasib baik dan memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi membantu golongan ini menerusi projek peningkatan pendapatan rakyat, pembasmian kemiskinan dan pembangunan sosial.

“Bagi menjayakan perancangan pembangunan sosio ekonomi yang disenaraikan menerusi Bajet 2020 ini, kerajaan mengambil pendekatan bekerjasama dengan semua pihak iaitu kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa tempatan, GLC, agensi kerajaan dan swasta.

“Walaupun sumber hasil negeri terhad, kerajaan akan berusaha menambah hasil dan mengagihkannya secara saksama dan jika perbelanjaan negeri dapat dikawal secara berhemah, defisit akan dapat dikurangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 6:15 PM
MUKHRIZ (kanan) bersama exco kerajaan negeri Kedah menunjukkan buku Belanjawan 2020 Negeri Kedah. FOTO Sharul Hafiz Zam
MUKHRIZ (kanan) bersama exco kerajaan negeri Kedah menunjukkan buku Belanjawan 2020 Negeri Kedah. FOTO Sharul Hafiz Zam